Sempena Kejohanan Sepaktakraw KFC-Utusan yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Sabtu ini, satu pertandingan mewarna diadakan di universiti tersebut pada Ahad ini. Pertandingan akan berlangsung di Astaka UMP, Jalan Gambang dekat sini bermula pukul 10.30 pagi bagi memeriahkan program tersebut.
Eksekutif Pemasaran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Zon Pahang, Omar Ibrahim berkata, pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori melibatkan kanak-kanak yang berumur antara empat hingga 12 tahun.
"Kita menyasarkan sebanyak 1,000 penyertaan daripada pelbagai umur dengan berbagai-bagai hadiah menarik disediakan untuk para pemenang.
"Pihak Nestle juga bersetuju memberi hadiah kepada 30 kanak-kanak terbaik bagi setiap kategori yang dipertandingkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, bayaran RM3 dikenakan bagi setiap penyertaan.
"Penyertaan dibuka bermula hari ini sehingga hari pertandingan dan sesiapa yang berminat boleh terus pergi ke kaunter Utusan di Astaka UMP bermula pukul 8.30 pagi hingga 10 pagi untuk pendaftaran," katanya.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti jualan gerai, sepak raga bulatan, cabutan bertuah, timbang sepak raga dan banyak lagi.
Sementara itu, Pengurus Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Anakku Comel, Siti Salmah Ibrahim berkata, pihaknya akan menghantar kira-kira 250 kanak-kanak dari lima cawangan taskanya untuk menyertai pertandingan mewarna tersebut.
Tambahnya, aktiviti itu dilihat sangat baik dalam mengembangkan minda kanak-kanak selain mengeratkan hubungan sesama mereka dan keluarga.
0 comments:
Post a Comment