Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 11, 2011

MEMBELA RAKYAT - TRADISI UMNO



KUALA LUMPUR, 10 Mei -  Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak seluruh pemimpin dan ahli UMNO di segenap peringkat mengambil iktibar dari sejarah sempena ulang tahun UMNO ke 65  ini untuk melihat perjuangan parti  dari perspektif yang baru bukan melihatnya dari konteks kanta yang lama.

Ini tegas beliau mempunyai hubung kait dengan proses perubahan yang dijayakan dalam kerajaan sendiri iaitu proses transformasi ekonomi, model baru yang diperkenalkan untuk mengubah struktur, ekonomi negara dengan Rancangan Malaysia ke 10 yang dilancarkan baru-baru ini.

Jelas beliau lagi kesemuanya ini adalah suatu usaha yang agak besar yang boleh dikatakan agak luar biasa yang belum pernah dilihat berlaku dalam konteks pembangunan dan sistem kerajaan sebelum ini.

“Kalau ini kita ambil sebagai cabaran di samping transformasi politik yang memang kita anjurkan untuk kita lakukan secara bersama-sama, maka saya lebih yakin bahawa bukan sahaja UMNO boleh kekal untuk pertahankan wadah orang Melayu dan masyarakat Malaysia tetapi UMNO juga boleh kekal sebagai pertubuhan yang lebih kukuh, mantap dan lebih berupaya untuk menjana kekuatan baru bagi membolehkan kita menyempurnakan apa yang dihajatkan oleh rakyat agar negara lebih terjamin, aman, makmur dan selamat”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu perutusan eksklusif bersama UMNO-Online sempena hari ulang tahun UMNO ke 65 pada 11 Mei ini.

Tambahnya usia UMNO yang kini sudah pun berusia 65 tahun dan sudah pun menjadi tunggak pemerintahan negara sejak merdeka lagi sesungguhnya sarat dengan pelbagai cabaran.

Hakikatnya kata beliau dalam tempoh masa 65 tahun itu bukan sedikit UMNO menempuh pelbagai dugaan, rintangan dan halangan tapi atas tekad berjuang untuk agama, bangsa dan tanahair UMNO sehingga kini masih terus kekal kukuh sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan masyarakat Malaysia yang berjaya.

Jelas beliau lagi sesungguhnya lanskap politik negara sejak UMNO ditubuhkan sudah jauh berubah dan berbeza.

“Pendekatan-pendekatan yang telah kita gunakan selama ini untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara juga berubah mengikut senario semasa.
“Untuk memastikan kelangsungan perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan tanahair ini, tanggungjawab dan peranan setiap peringkat pimpinan dan ahli juga berbeza malah lebih mencabar.

“Kita mahu pastikan kuasa politik yang sudah berada ditangan kita yang telah banyak membawa kemajuan dan perubahan sehingga kini dapat terus dikekalkan”, ujarnya.
Namun begitu kata beliau usaha yang berlaku untuk memantapkan UMNO telah pun dilaksanakan secara menyeluruh apatah lagi di bawah kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mengambil pendekatan yang agak drastik untuk membawa satu transformasi politik mengikut model baru pada hari ini.

“Langkah sebegini sebenarnya sudah sampai pada masa dan ketikanya kerana kita tahu dalam situasi hari ini bukan saja masyarakat Melayu tetapi masyarakat Malaysia keseluruhannya melihat kepada kepimpinan kita pada hari ini dalam perspektif baru yang menuntut sesuatu yang lebih daripada biasa ataupun normal yang mahu melihat suatu perubahan yang lebih besar yang pasti dapat mengangkat martabat orang Melayu dan rakyat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan lebih dihormati.

“Oleh itu cabaran yang kita hadapi hari ini khususnya ahli-ahli UMNO amat besar sekali.  Kalau kita mengambilkira apa yang telah kita lalui pada pilihanraya umum lalu, kita berdepan dengan situasi yang tidak terduga, tidak kita jangka, cabaran hebat yang mana kita tidak dapat menguasai 2/3 kerusi di Parlimen dan kalah di beberapa buah negeri.

“Ini harus dijadikan iktibar kepada kita untuk bukan setakat mengambil langkah-langkah yang perlu tetapi langkah yang lebih besar selaras dengan langkah pimpinan kita iaitu melakukan transformasi politik.  Kita tidak boleh lagi mengambil tindakan serupa seperti biasa”, katanya.

Justeru tegas beliau pimpinan parti dari yang tertinggi hingga ke akar umbi harus sedar tentang perubahan yang berlaku.

“Masyarakat Melayu dan Malaysia bukanlah seperti yang kita lihat 20,30 tahun yang lampau. ”Mindset” masyarakat pada hari ini tidak boleh kita bandingkan dengan apa yang kita ketahui 20, 30 tahun yang lepas.

“Kita mesti peka dan prihatin dengan apa yang dihajatkan masyarakat kini.  Selaras dengan Gagasan 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ seperti yang dipelopori Presiden kita bermakna pendekatan baru yang mesti kita gunakan untuk menangani isu dan permasalahan masyarakat ini mestilah bersandar dan berpaksi kepada rakyat.

“Kita mesti peka dan prihatin dengan apa yang dihajatkan masyarakat kini.  Selaras dengan Gagasan 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ seperti yang dipelopori Presiden kita bermakna pendekatan baru yang mesti kita gunakan untuk menangani isu dan permasalahan masyarakat ini mestilah bersandar dan berpaksi kepada rakyat.”

“Rakyatlah penentu, rakyatlah yang akan mencorak masa depan negara, rakyatlah yang akan menentukan keberkekalan kuasa politik yang ada pada tangan kita hari ini”, ujarnya.
Justeru pada hari ulang tahun UMNO ke 65 ini beliau menyifatkan sebagai satu detik yang amat keramat, satu peristiwa yang amat penting yang harus seluruh ahli UMNO gunakan sebagai satu cetusan pendekatan baru yang perlu diambil dengan cepat.

“Ini kerana masa tidak menyebelahi kita, lebih-lebih lagi kalau kita lihat tempoh untuk kita sekali lagi berdepan dengan rakyat bagi menghadapi pilihanraya umum mungkin tidak berapa lama lagi.  Dan dalam tempoh sesingkat ini, pembaharuan dan perubahan yang kita janjikan kepada rakyat harus kita buktikan secara nyata dan konkrit.

“Atas dasar ini yang penting bagaimana harus kita mantapkan dan perkukuhkan kedudukan parti kita.  Dalam konteks Barisan Nasional pun UMNO adalah parti teras dan dalam sejarah pencapaian yang telah kita buktikan selama ini pun penentunya adalah kedudukan parti kita sendiri”, katanya.

Oleh kerana itu, beliau menyeru seluruh ahli parti di semua peringkat tidak kira di peringkat tertinggi apatah lagi di peirngkat akar umbi mesti melihat soal perpaduan dan pengukuhan parti ini sebagai cabaran yang paling utama.

“Ini kerana tidak mungkin kita dapat membawa pembaharuan, perubahan atau pendekatan baru menerusi proses transformasi kalau kita sendiri berdepan masalah dan kekangan dalam parti yang membataskan kita bergerak dengan lebih lancar.

“Sempena ulang tahun UMNO ke 65 ini marilah kita bersama-sama berganding bahu memperkukuhkan hubungan kekitaan dan semangat kekeluargaan kita yang lebih jitu dan mantap atas niat dan hasrat kita untuk tujuan mendapatkan keredhaan Allah swt. 

Mudah-mudahan UMNO akan terus kekal sebagai wadah perjuangan orang Melayu, masyarakat Malaysia untuk agama, bangsa dan tanahair”, ujarnya. - Sumber Media UMNO

0 comments:

share2