Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 14, 2011

MCA tangguh pemilihan parti

KUALA LUMPUR 13 Mac. – Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA hari ini meluluskan usul agar pemilihan pucuk pimpinan parti yang sepatutnya diadakan pada tahun ini ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, keputusan itu dibuat sebagai persediaan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU–13).

“Oleh kerana Pilihan Raya Umum Ke-13 akan diadakan pada bila-bila masa sahaja, maka MCA perlu memastikan jentera parti berada dalam keadaan siap sedia,” katanya pada sidang akhbar selepas EGM tersebut di Wisma MCA di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.

EGM yang diadakan hari ini bertujuan meminda Artikel 167 Perlembagaan MCA bagi memendekkan tempoh penangguhan pemilihan parti selepas pilihan raya umum daripada 42 bulan seperti sekarang kepada hanya 36 bulan.

Parti itu juga memutuskan tempoh pemilihan pucuk pimpinan perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum, bukannya tiga bulan seperti sekarang.

Seramai 1,844 daripada jumlah keseluruhan 2,362 perwakilan mengundi dengan mengangkat tangan pada EGM yang bermula pada pukul 10.30 pagi.

Proses pengundian dilihat berjalan lancar dan tamat dalam tempoh 15 minit sahaja.

Seramai 1,827 iaitu 99 peratus perwakilan menyokong untuk meminda perlembagaan parti, 14 orang tidak mengundi dan tiga undi menolak usul berkenaan.

Dalam pada itu, Soi Lek juga menegaskan, MCA yakin dapat memenangi semula sokongan masyarakat Cina di negara ini pada pilihan raya umum akan datang.

“Namun kita tidak boleh mengambil ringan terhadap sokongan itu dan parti seharusnya berusaha keras untuk meyakinkan kaum Cina untuk menyokong semula MCA,” katanya.

Sumber: Utusan Online.

(Penangguhan ini sangat menarik kerana Dr. Chua Soi Lek sebagai Presiden bukan pula Ahli Parlimen. Adakah beliau akan dicalon semula oleh MCA dimana-mana kawasan parlimen dalam PRU ke 13 nanti? Penangguhan ini juga menunjukkan persediaan pilihanraya sudah bermula dan pilihanraya sendiri sudah hampir. MCA dab UMNO tidak mampu menghadapi perpecahan)

1 comments:

  • anak sufi says:
    March 15, 2011 at 7:48 AM

    salam. blog2 tuan telah saya linkkan. mohon linkkan juga blog saya di kedua-dua blog tuan. terima kasih. berkhidmat demi Allah untuk negara.

share2