Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 4, 2011

Banjir Masih Melanda Pahang

Meskipun keadaan banjir di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan semakin reda, namun di Pahang keadaannya tidak banyak berubah apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan terus meningkat.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berkata, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan meningkat kepada 2,265 berbanding 2,081 orang semalam. Sehingga lewat petang ini, kesemua mangsa yang dipindahkan melibatkan dua daerah iaitu Rompin dan Temerloh.

Ia membabitkan seramai 1,808 orang daripada 236 keluarga di Rompin manakala 457 mangsa dari 118 keluarga lagi dari Temerloh.

Mangsa banjir di Rompin ditempatkan di enam pusat pemindahan iaitu seramai 1,216 di Pusat Komuniti Bukit Serok, Balai Raya Kampung Rekoh (168), Dewan Tun Razak (298), Dewan Teluk Gading Tanjung Gemok (83), Sekolah Kebangsaan Kampung Aur (37) dan Balai Raya Kampung Lubuk Batu (6).

Di Temerloh pula, mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor adalah seramai 356 orang, SK Desa Bakti (82) dan Dewan Sri Gading seramai 19 orang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beberapa jalan di kawasan pedalaman terus ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di Jalan Hwali dan Jalan Lam Trading di Cenderawasih, Rompin. Sementara itu jalan Kampung Baru Bukit Ibam, Jalan Kampung Inoi, Jambatan Sungai Gayong, Kedaik dan Jambatan Lubuk Batu di Kota Bahagia, Rompin masih ditutup kepada semua kenderaan.

Di Temerloh pula, Jambatan Tanjung Kerayong, Mentakab ditutup kepada semua kenderaan manakala laluan di Kilometer 22, Jalan Kemayan-RISDA, Bera hanya dibenarkan untuk kenderaan berat.

Sementara itu selepas sembahyang jumaat tadi sembahyang hajat telah diadakan diseluruh masjid di Pahang untuk memohon keselamatan pelajar di Mesir dan supaya banjir ini diredakan.

0 comments:

share2