Tiada kata-kata yang mampu diluahkan dua keluarga miskin di Kampung Lipat Kajang di sini apabila menerima kunjungan mengejut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Ada yang menitiskan air mata seolah-olah tidak percaya pemimpin nombor satu negara itu sanggup menjejakkan kaki ke rumah mereka yang cukup daif.
Kedua-dua keluarga tersebut adalah antara sembilan penerima bantuan sebanyak RM5,000 daripada Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi membaiki rumah mereka yang usang dan daif.
Bagi Samad Mohd. Nor, 75, dia amat terkejut dengan kunjungan Perdana Menteri ke rumahnya yang serba kekurangan.
"Seperti tidak percaya, rumah saya yang buruk sanggup dikunjungi oleh pemimpin nombor satu negara. Saya tidak tahu Perdana Menteri akan datang ke rumah saya.
"Saya hanya dimaklumkan lewat tengah hari ini tetapi ketika itu saya masih tertanya-tanya betul atau tidak? Seperti mimpi Perdana Menteri sanggup datang," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Najib di sini.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengarah Tanggungjawab Korporat Sosial 1MDB, Datuk Dr. Shamsul Anuar Sulaiman.
Program 1MDB adalah sebahagian daripada aturcara Perdana Menteri sempena lawatan kerja sehari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di sini.
Najib meluangkan masa hampir setengah jam melawat dan meninjau rumah yang dibaiki melalui program 1MDB di samping beramah mesra dengan kedua-dua buah keluarga terbabit.
Samad yang tidak dapat menahan sebak mengalirkan air mata sebaik sahaja bersalaman dengan Najib yang menampalkan plak program 1MDB di dinding rumahnya.
"Saya benar-benar gembira dan berbesar hati. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada 1MDB yang membaik pulih rumah saya di samping kedatangan mengejut Perdana Menteri," katanya.
Bagi seorang petani, Amin Aman, 57, dia tidak menyangka Perdana Menteri sanggup meluangkan masa dan melawat rumahnya yang serba kekurangan.
"Sejurus dimaklumkan oleh pihak 1MDB bahawa Perdana Menteri akan melawat rumah saya, isteri terus membersihkan kawasan rumah.
"Saya sendiri tidak sangka pemimpin nombor satu negara sanggup menjejakkan kaki ke rumah dan bertemu dengan kami sekeluarga," ujarnya.
Katanya, kunjungan mengejut itu merupakan satu kenangan yang tidak mudah untuk dia dan keluarga melupakannya.
Amin mengucapkan terima kasih kerana program 1MDB itu membolehkan dia menjalani kehidupan yang sempurna apabila dapur, atap, bilik dan dinding rumahnya dibaiki dengan sempurna.
Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment