Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 20, 2010

Mengapa PAS Disingkir Dari Barisan Nasional

Ucapan penuh Tun Hussin Pada Tahun 1977

"Terlebih dahulu saya dengan sukacitanya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tingginya penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang telah bersusah payah datang dari jauh dan dekat dan secara tergesa-gesa menghadiri perjumpaan ini.

Perjumpaan ini amat penting bagi menentukan nasib orang Melayu khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.
Perjumpaan kita hari ini diselubungi oleh suasana sedih dan pilu. Sedih kerana kehilangan seorang menteri yang telah banyak berjasa kepada UMNO dan negara.

Kemalangan kapal terbang MAS di Tanjung Kupang, Johor yang telah mengorbankan 100 nyawa, sungguh mengejut dan mengharukan kita semua. Oleh itu sempena dengan perjumpaan kita yang bersejarah ini, marilah kita beramai-ramai mendoakan semoga Allah s.w.t mencucuri rahmatnya ke atas roh Allahyarham Dato’ Seri Ali bin Haji Ahmad serta lain-lain roh orang yang telah terkorban dalam kemalangan itu.


Sebelum saya menyebut perkara penting dalam perjumpaan ini, marilah kita menoleh sejenak ke belakang mengkaji semula dengan secara ringkas perkembangan yang telah berlaku sehinggalah keperjumpaan yang diadakan pada petang ini.

Saya tidaklah berhajat hendak menerangkan kemajuan dan kejayaan UMNO yang telah lalu atau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh Perikatan sejak ia ditubuhkan. Kesemuanya ini ada dalam pengetahuan tiap-tiap ahli UMNO. Demikianlah juga dengan hasrat dan tujuan menubuhkan Barisan Nasional yang telah menyatupadukan sehingga ke hari ini sebelas buah parti politik yang yang sebilangannya telah menentang UMNO pada masa sebelumnya.


Sesungguhnya UMNO telah membuat membuat banyak pengorbanan politik bagi memenuhi hasrat dan matlamat Barisan Nasional. Walaupun perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan liku-liku tetapi Barisan Nasional telah dapat menumpukan sepenuh tenaga memupuk dan menyuburkan semangat kerjasama dan persefahaman dalam melaksanakan rancangan pembangunan, membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat berbilang kaum.
Barisan Nasional berazam akan terus dengan penuh keberanian dan dengan usaha yang lebih bersungguh-sungguh mewujud dan mengeratkan perpaduan. Dengan sokongan rakyat saya percaya Barisan Nasional akan mencapai kejayaan.

Barisan Nasional merupakan satu federasi yang longgar kerana tiap-tiap parti yang bergabung ingin mengekalkan identiti partinya masing-masing. Tetapi parti-parti komponen adalah terikat dengan semangat ingin bekerjasama, saling mengerti sesama sendiri dan yang paling penting sekali ialah mematuhi disiplin parti.


Semangat kerjasama dan persefahaman adalah penting bagi menyelesaikan masalah negara. Ia lebih berharga dengan membuktikan dalam amalan daripada semata-mata mengadakan perakuan-perakuan sahaja tetapi tidak dipraktikkan.
Inilah caranya Barisan Nasional bergerak selama ini dari semenjak ia ditubuhkan.

Hasil kejayaan penubuhan Barisan Nasional telah dapat dilihat dengan nyata apabila parti ini mencapai kemenangan yang paling gemilang dalam pilihan raya tahun 1974. UMNO yang paling mempelopori gabungan ini serta memastikan ia dapat terus wujud kukuh dan teguh supaya pembangunan negara dapat diselenggarakan dengan lebih licin, sempurna dan jayanya.


Parti-parti politik yang bercorak gabungan seperti Barisan Nasional ini sudah pasti sekali-sekala menghadapi masalah. Pertentangan pendapat dan perbezaan cara mendekati dan menyelesaikan sesuatu masalah merupakan satu perkara biasa yang memang diramalkan dari mula-mula lagi.


Peristiwa perpecahan parti komponen Barisan Nasional di Sabah merupakan kejadian pertama yang telah berlaku. Walaupun perkara ini belum dapat diselesaikan dengan sepenuhnya tetapi Insya Allah penyelesaian terakhir akan dapat dibuat dengan secara beransur-ansur.

Pergolakan yang sedang kita hadapi di Kelantan sekarang merupakan peristiwa kedua. Perkara ini besar, yang berkehendakkan pengkajian dan pertimbangan yang serius kerana ia melibatkan soal pokok.
Sebagaimana kita maklum, Dato’ Haji Mohamad Nasir telah dipilih menjadi Menteri Besar hasil daripada persefahaman dan semangat tolak ansur di antara Allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Ketua Barisan Nasional di masa itu dengan pucuk pimpinan PAS yang mempunyai suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Semangat tolak ansur seperti ini patut sentiasa wujud, digalak dan dikekalkan. Ia merupakan faktor utama bagi mengekal dan menjamin perpaduan dalam Barisan Nasional.
UMNO tidak berhajat dan tidak mahu mencampuri langkah-langkah pimpinan PAS melucutkan jawatan Dato’ Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan semata-mata kerana menghormati kehendak-kehendak pucuk pimpinan PAS mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS.

UMNO menganggap perkara itu sebagai masalah Barisan Nasional. Langkah itu juga telah diambil oleh pucuk pimpinan dengan tidak ada sedikit pun perundingan dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional terlebih dahulu.
UMNO tidak dapat menyokong langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan PAS dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 15 Oktober itu bukan kerana UMNO tidak dibawa berunding, tetapi kerana UMNO tidak tahu sebab atau diberitahu sebab-sebab mengapa Menteri Besar Dato’ Haji Mohamad Nasir dilucutkan daripada jawatannya.

Oleh itu sikap berkecuali yang telah diambil oleh UMNO itu adalah satu tindakan yang munasabah. Tambahan pula UMNO masih lagi berharap hendak mengekalkan perpaduan dengan PAS.
Malangnya peristiwa melucutkan jawatan Menteri Besar itu dengan tidak disangka-sangka telah mencetuskan kejadian yang buruk.

Peristiwa yang telah mengakibatkan kecederaan sebilangan orang yang tidak berdosa, kemusnahan harta benda dan boleh mengancam nyawa dan keselamatan rakyat telah juga mengancam keselamatan negeri Kelantan.

Jika keadaan ini tidak dikawal segera ia akan melibatkan keselamatan negara seluruhnya.
Sebagai Perdana Menteri saya bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, saya terpaksa mengambil langkah yang tegas.

Keadaan darurat telah diisytiharkan bagi negeri Kelantan. Satu undang-undang dirangka yang meletakkan kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Langkah-langkah ini diambil pada masa menteri-menteri dari Parti PAS masih lagi bersama-sama kita dalam jemaah Menteri. Rang Undang-Undang ini kemudiannya telah diluluskan oleh Parlimen.
Kerajaan Darurat terpaksa ditubuhkan di Kelantan dengan tidak mengira siapakah yang menjadi parti pemerintahnya. Sama ada ia dari parti lawan ataupun parti kawan tidaklah penting kerana yang pentingnya ialah keselamatan dan kebajikan rakyat Kelantan sendiri.

Saya memanglah sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan di atas segala-galanya.
Memang benar demokrasi telah mati di Kelantan. Tetapi rakyat Kelantan telah dapat terus hidup dengan penuh keyakinan di atas keselamatan dan masa depan mereka. Demokrasi di Kelantan tetap akan dipulihkan sebaik-baik sahaja keadaan mengizinkan. Bukti nyata kita semua telah dapat nikmati sekarang dimana pemerintahan NOC atau Mageran tahun 1969 telah dimansuhkan dan kita telah kembali kepada pemerintahan demokrasi. Tempoh dan lama masa berjalannya kerajaan darurat di Kelantan itu hanya dikehendaki sekadar yang wajib sahaja. Lebih pendek adalah lebih baik.

Kerajaan Pusat berikrar akan memulihkan kembali pemerintahan demokrasi seberapa segera yang boleh. Sebagaimana kita semua sedia maklum bahawa parti PAS yang mempunyai anggota di Dewan Undangan yang lebih ramai akan tetap memegang teraju pemerintahan negeri itu semula dan bukanlah UMNO.
Malang sekali tujuan baik Kerajaan Pusat dan rang Undang-undang yang telah mendapat persetujuan daripada Parlimen itu telah sengaja disalah faham dan disalahtafsirkan oleh pucuk pimpinan PAS. Semua wakil rakyat PAS, telah menyokong rang undang-undang penubuhan kerajaan Darurat di Kelantan itu.

Biarlah saya bersalah dalam tindakan saya mengadakan undang-undang itu. Tetapi saya tidak sanggup memikul dosa yang lebih besar dengan membiarkan berlakunya pertumpahan darah, pengorbanan nyawa, kecederaan dan kemusnahan harta benda.

Sebagai Perdana Menteri saya tidak boleh memandang ringan perkara ini. Saya berkewajipan penuh melindungi nyawa rakyat.
Tindakan saya ini telah disambut baik dan disokong oleh sebahagian besar penduduk dan rakyat Kelantan sendiri. Saya tidak faham kenapa pucuk pimpinan PAS tidak mahu menyokongnya. Saya tahu tidak semua ahli PAS bersetuju dengan tindak tanduk pucuk pimpinannya.

Sebenarnya UMNO juga memerlukan kerjasama PAS dan tidak sekali-kali meragukan penyertaan PAS tetapi yang kita sangsikan ialah sikap dan pendirian pucuk pimpinannya.


Perbuatan pucuk pimpinan PAS menentang arahan parti anggota Barisan Nasional sama ada di dalam atau pun diluar dewan ini dimasa akan datang. Jika semangat kerjasama dan saling mengerti ini luntur dan disiplin parti diketepikan, akibatnya Barisan Nasional akan hancur. Kita semua tahu bahawa disiplin merupakan rahsia perpaduan dan kekuatan Barisan Nasional selama ini.


Disiplin adalah paling mustahak dalam penghidupan manusia dan hendaklah diutamakan. Mengenakan disiplin di atas diri sendiri pun merupakan perkara penting, apatah lagi masyarakat atau pertubuhan seperti parti-parti politik.
Satu daripada sebab-sebab kejayaan UMNO selama selama ini ialah kerana ahli-ahlinya mematuhi disiplin parti serta menghormati dan menjunjung tinggi peraturan yang ditetapkan. Parti-parti yang ahlinya tidak patuh kepada disiplin akan membawa kehancuran kepada parti itu sendiri. Soal mengenai siapa yang bersalah sehingga mengakibatkan tercetusnya kejadian buruk di Kelantan itu tidaklah berfaedah dibangkitkan. Tetapi perkara yang paling penting dan yang patut diutamakan ialah melindungi nyawa rakyat terlebih dahulu.

Sebagai Perdana Menteri, saya mengetahui dengan sedalam-dalamnya masalah keselamatan dalam negeri. Saya mesti bertindak sewajarnya mengikut keadaan.
Saya telah pun menerangkan bahawa saya tidak menyebelahi mana-mana pihak yang terlibat dalam peristiwa Kelantan itu. Saya jalankan segala tindakan yang perlu bagi mengawal dan mententeramkan keadaan di atas sifat saya sebagai Perdana Menteri. Yang bertanggungjawab di atas kepentingan, keselamatan dan kebajikan rakyat, bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh tanah air kita. Inilah amanah yang telah bertanggungjawab oleh rakyat kepada saya.

Saya tidak faham mengapa pucuk pimpinan PAS tidak tidak memahami hakikat ini. Soal keselamatan adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan tawar menawar.
Di bawah kuasa-kuasa darurat, Pengarah Kerajaan negeri Kelantan adalah bertanggungjawab kepada saya sebagai Perdana Menteri. Saya pula bertanggungjawab kepada Jamaah Menteri di mana menteri-menteri dari PAS menganggotainya. Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dimana menteri-menteri dari PAS menganggotainya.

Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dari masa ke semasa mengenai perkembangan dan kemajuan di negeri Kelantan masa itu menteri-menteri dari PAS boleh membangkitkan sebarang kemusykilan mengenainya. Sebaliknya mereka telah mengambil tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai dari menyertai kerajaan.


Dalam masa kita sedang mencari-cari jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi mengatasi keadaan buruk yang tercetus di Kelantan itu, tiba-tiba pucuk pimpinan PAS menimbulkan lagi berbagai masalah lain dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada beberapa orang Menteri Besar yang terdiri draipada ahli-ahli UMNO.


Di antara yang yang paling baru ialah di negeri Kedah. Menteri-menteri Besar boleh ditukar ganti tetapi apa yang meragukan ialah tentang sejauh mana keikhlasan pucuk pimpinan PAS melakukan perbuatan-perbuatan ini dengan tidak mahu berunding terlebih dahulu dengan kita.
Dimanakah letaknya semangat kerjasama pucuk pimpinan PAS dalam Barisan Nasional? Apakah salahnya jika perkara ini dirundingkan dengan kita terlebih dahulu?

Jika kita sanggup merundingkan terlebih dahulu mengenai hal-hal negeri Kelantan dengan pucuk pimpinan PAS, mengapakah pucuk pimpinan PAS mahu membelakangkan kita mengenai hal di negeri-negeri yang lain?
Sungguh sukar sekali bagi kita hendak memahami tindak-tanduk pucuk pimpinan PAS ini. Setelah menimbulkan gejala-gejala ini, pucuk pimpinan PAS melahirkan hasrat hendak terus kekal dalam Barisan Nasional.

Kita sungguh tidak faham dengan sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS ini.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang akan datang pada 17 Disember ini sudah pasti akan menimbulkan perbalahan yang hebat. Tidakkah pucuk pimpinan PAS sedar atas perkara ini? Apakah tujuan pucuk pimpinan PAS membuat demikian? Bukankah ini semuanya merupakan gejala-gejala yang sengaja ditimbulkan dengan niat hendak memecah-belahkan Barisan Nasional?

Di negeri Johor pula, pucuk pimpinan PAS di sana telah memberi amaran yang merupakan kata dua bahawa calon-calon PAS akan bertanding dalam semua kawasan pilihan raya menentang Barisan Nasional.
Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada PAS. UMNO terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat kerjasama UMNO dengan PAS demi kepentingan dan faedah rakyat.

Pucuk pimpinan PAS telah juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau Pinang.
Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya PAS meninggalkan atau dikeluarkan daripada Barisan Nasional. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang merbahaya. UMNO mempunyai maruahnya sendiri. Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan PAS mengkaji semula kedudukan PAS dalam Barisan Nasional, Perkara ini telah dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung PAS selama tiga tahun berturut-turut setelah PAS menyertai gabungan besar ini. Penubuhan ranting-ranting PAS dalam kawasan-kawasan UMNO juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan rakyat.

Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan PAS yang meragukan.
Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan Barisan Nasional. Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak-pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai. Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah.

Walaupun Barisan Nasional terpaksa berpecah, tetapi ini tidak bererti pembangunan akan terjejas dan terhenti. Pembangunan tetap akan berjalan terus. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mesti dijayakan dengan sepenuh-penuhnya. Inilah janji saya kepada rakyat sekalian.
Berikutan dengan berlakunya kejadian-kejadian ini, saya telah mengadakan sidang tergempar Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Disember 1977, Fasal 14, Perlembagaan Barisan Nasional membolehkan dengan suara majoriti memecat parti-parti ahli yang bergabung yang didapati melanggar disiplin. Tetapi Barisan Nasional sekali-kali tidak berniat hendak menggunakan Fasal tersebut bagi memecat PAS.

Barisan Nasional masih lagi, jika boleh, berkehendakkan PAS tinggal kekal dalam Barisan Nasional. Sungguhpun demikian, disiplin parti mesti dipelihara dan dipatuhi kalau kita mahu melihat Barisan Nasional hidup berpanjangan. Oleh itu satu usul yang merupakan suatu tolak ansur sebagai jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi meyelesaikan masalah ini telah dikemukakan dalam Dewan Tertinggi Barisan Nasional itu.

Tolak ansur ini merupakan usul yang berkehendakkan supaya parti-parti anggota yang ahli-ahlinya didapati menentang arahan parti whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam dewan rakyat, dewan negara atau dewan negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin terhadapnya dengan memecat mereka itu daripada parti masing-masing.
Apabila semangat kerjasama yang tulus ikhlas itu luput dan disiplin parti telah diketepikan, Barisan Nasional sudah tentu akan pecah dan musnah. Jika ini berlaku tentulah tidak berguna lagi.

Eloklah kekusutan yang berlaku ini diselesaikan sekarang juga kerana jika dibiarkan berlanjutan akan merugikan parti dan rakyat.
Daripada sebelas parti anggota dalam Barisan Nasional, sembilan telah menyokong, PPP berkecuali dan PAS menentang usul itu.

Keputusan suara terbanyak ini telah dimaklumkan dengan secara rasmi kepada pucuk pimpinan PAS.
Memandangkan betapa pentingnya masalah yang kita hadapi, saya telah mengadakan mesyuarat khas majlis Tertinggi UMNO malam tadi.

Majlis tertinggi UMNO telah membincangkan dengan teliti segala akibatnya terutama sekali tentang sikap pucuk pimpinan PAS yang ada sekarang, yang terang-terang menggugat perpaduan Barisan Nasional khususnya dan perpaduan orang Melayu amnya. Kami berpendapat bahawa haruslah diwujudkan kesungguhan dan keikhlasan bagi memperkukuhkan Barisan Nasional.
Memandangkan kepada perbuatan, sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS selama ini, UMNO berpendapat kerjasama yang erat tidak mungkin dapat terus wujud di antara UMNO dengan PAS dalam Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan pertelingkahan ini berpanjangan, yang akhirnya akan membawa perpecahan kepada Barisan Nasional, Majlis Tertinggi UMNO telah dengan perasaan amat dukacita mengambil pendirian, jika pucuk pimpinan PAS tidak mematuhi dan mengambil tindakan sebagaimana yang dikehendaki di dalam Mesyuarat Dewan Tertingginya pada 5 Disember yang lalu, UMNO akan meminta diadakan mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional supaya dipersetujui resolusi memecat PAS daripada Barisan Nasional.


Pagi ini saya telah menyampaikan pendirian UMNO itu kepada ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional. Ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional dalam perjumpaannya pagi ini telah bersetuju supaya mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional diadakan pada 13 Disember yang akan datang ini.

Inilah tujuan kami mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian UMNO petang ini bagi menjelaskan pendirian yang telah diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO itu. UMNO sudah membuat keputusan dan menentukan pendiriannya. Keputusan dan pendirian itu adalah dibuat dengan hati yang suci, demi kepentingan Barisan Nasional dan negara.

Saya yakin dengan kesucian hati kita itu, Allah akan memberkati perjuangan kita.
Saya merayu kepada semua ahli UMNO supaya bertenang dan terus menjalankan tanggungjawab kita dengan lebih berhati-hati lagi, lebih bersungguh-sungguh lagi dan lebih berdedikasi lagi.

Masa hadapan Barisan Nasional penuh dengan cabaran. Kita akan menghadapinya dengan meminta petunjuk dan keredhaan Allah.


Dengan ini maka kita menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah."

Sumber: Kamalfarsya

1 comments:

  • pahang ku says:
    December 20, 2010 at 5:07 PM

    Insyallah akan dilinkan

share2