Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 19, 2020

UMNO DAN PN HARUS TERUS BERUNDING DEMI JALAN PENYELESAIAN TERBAIK



KUALA LUMPUR, 18 Okt – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata, Perikatan Nasional (PN) perlu terus berunding untuk memastikan kedudukannya terus kukuh dan tidak tumbang.

Ujar beliau, PN akan hilang kekuatan jika berpecah maka perundingan harus dilakukan dengan sabar.

“Insyaallah, kita sedar penyatuan dan muafakat tidak mudah. Allah melarang kita bercerai berai. Kita diperintah berpegang teguh pada tali Allah.

“Malah Allah memberi peringatan kita bakal hilang kekuatan jika berpecah. Kita harus berunding dengan kesabaran agar umat Islam dan Melayu kuat,” ujar beliau menerusi status di Twitter.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin agar kerajaan PN dipertahankan.

Untuk rekod, semalam tular di media sosial sepucuk surat yang menggunakan kepala surat UMNO yang didakwa ditulis oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Kebawah Duli Yang Di-Pertuan Agong yang menyatakan ahli-ahli Dewan Rakyat UMNO memberi sokongan tidak berbelah bahagi dan setia kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-9.

Surat tersebut juga menyatakan bahawa Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak serta sebilangan wakil rakyat UMNO telah menarik balik sokongan serta kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lantaran itu, Setiausaha Kerja UMNO Datuk Sumali Reduan telah menafikannya dan menjelaskan bahawa surat tersebut palsu kerana tidak mempunyai nombor rujukan dan hanya mahu memburukkan pemimpin UMNO.

0 comments:

share2