SLIM RIVER: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz,
tekad membantu 7,000 penduduk di Kampung Klah Baru, Trolak, Pekan Slim dan
Kuala Slim, dekat sini, yang dibelenggu masalah banjir kilat sejak sekian lama.
Ia mengambil kira komitmen penyandang kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Slim, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, yang sebelum
ini berusaha menyelesaikan isu berkenaan.
Malah, katanya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim
itu sudah membawa isu berkaitan masalah dihadapi penduduk itu kepada
Jawatankuasa Tindakan Daerah dan turut dibahaskan di sidang DUN.
"Banjir kilat berlaku disebabkan limpahan air Sungai
Slim susulan hujan lebat yang menjadi masalah utama penduduk di kawasan
berkenaan.
"Masalah ini berlaku sejak lama dahulu dan sudah dibawa
kepada pihak berkaitan oleh arwah (Mohd Khusairi).
"Jadi, saya mahu teruskan perjuangan itu termasuk
penempatan untuk generasi kedua bagi kampung tradisional dan FELDA,"
katanya ketika melawat Kampung Klah Baru, di sini, hari ini.
Sementara itu, bekas ketua kampung berkenaan, Mohd Ishak
Hassan, mengakui setiap kali musim hujan lebih 30 kediaman penduduk berhampiran
sungai akan dinaiki air dengan kejadian terbaru pada Jun lalu.
"Apabila hujan lebat berterusan hampir lapan jam pasti
akan berlaku banjir kilat di sini dan pernah beberapa keluarga terpaksa
berpindah ke pusat pemindahan sementara.
"Justeru, saya harap pihak berkaitan dapat
menyelenggara sungai berkenaan supaya masalah itu dapat diatasi segera,"
katanya.
Memasuki hari keempat kempen, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN
Slim, Mohd Zaidi sudah meliputi hampir 90 peratus kawasan, dengan bertemu dan
melawat 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi menyelami masalah penduduk.
PRK DUN Slim menyaksikan Mohd Zaidi berdepan saingan tiga
penjuru dengan dua calon Bebas iaitu S Santharasekaran dan Amir Khusyairi
Mohamad Tanusi.
0 comments:
Post a Comment