MOHD SHARKAR SHAMSUDIN
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan
& Komoditi Negeri Pahang.
SALAHKAH kerajaan negeri Pahang mahu memartabatkan tulisan
Jawi? Lagipun arahan menyertakan semua papan tanda di jalan raya dan premis
perniagaan dengan tulisan tulisan Jawi bukanlah suatu yang sukar untuk
dilaksanakan.
Saya tidak faham mengapa masih ada pihak yang menentang
kerana tulisan Jawi sememangnya sebahagian daripada bahasa Melayu.
Bimbang didenda RM250? Jika bimbang sertakan sahajalah
tulisan Jawi di papan tanda premis perniagaan, jika tidak mahu membuat papan
tanda baru, tampal sahaja tulisan Jawi mengikut saiz dan ukuran yang
ditetapkan. Adakah cara sebegini pun sukar untuk dilaksanakan?
Jadi saya tidak faham kenapa Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Tras, Chow Yu Hui memfailkan permohonan mahkamah mencabar ketetapan
kerajaan Pahang mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis
perniagaan di negeri itu.
Sejurus selepas itu, ADUN Ketari, Young Syefura Othman
memaklumkan DAP negeri menyokong usaha bagi menggalakkan penggunaan tulisan
Jawi di Pahang tetapi jangan sampai membebankan rakyat khususnya golongan
peniaga kecil.
Persoalannya, adakah menyertakan tulisan Jawi di papan tanda
adalah suatu yang membebankan?
Saya berpandangan, usaha kerajaan negeri Pahang itu tidak
memberikan sebarang tekanan pun kepada rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Penggunaan tulisan Jawi, termasuklah pelaksanaan mandatori
dalam papan tanda tidak menyekat kebebasan mana-mana kaum atau agama.
Adakah ADUN Tras, ADUN Ketari dan DAP Pahang titah
menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah supaya kerajaan negeri Pahang mewajibkan
penggunaan tulisan Jawi di papan tanda premis perniagaan di negeri ini?
Kepada seluruh rakyat di negeri ini, rujuklah kepada pihak
yang mempunyai kepakaran untuk mendapatkan nasihat berhubung tulisan Jawi.
Janganlah dipengaruhi oleh orang berkepentingan politik, ini
akan memburukkan keadaan, malah boleh menjejaskan perpaduan rakyat bukan sahaja
di Pahang malah seluruh negara.
Tulisan Jawi bukan isu agama, tetapi isu ini berkaitan
dengan bahasa kebangsaan. Kita pula tidak pernah mempertikaikan tulisan Cina
kerana Itu sebahagian dari budaya kaum Cina, sebagai contoh.
Tidak perlulah kaum lain menganggap bahawa tulisan Jawi
sebagai proses Islamisasi seperti mana yang didakwa oleh sebahagian pihak.
Hentilah mempolitikkan tulisan Jawi.
MOHD SHARKAR SHAMSUDIN
0 comments:
Post a Comment