ROMPIN, 16 JULAI 2020 : Kerajaan Negeri akan membangunkan
kawasan Tanjung Gemok sebagai Rancangan Kawasan Khas (RKK) untuk dijadikan hub
pelancongan dan pusat perkhidmatan.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan
Ismail berkata RKK Tanjung Gemok merupakan rancangan pemajuan berkepentingan
khusus sebagai pembolehubah kepada sektor pelancongan, ekonomi dan aktiviti
maritim.
Beliau berkata RKK Tanjung Gemok ini juga merupakan
rancangan bagi saling melengkapi RKK Gugusan Pulau Tioman yang kini berada di peringkat
akhir penyediaan.
“Kedudukannya ditengah laluan utama antara Johor Baharu dan
Kuantan menjadikan Tanjung Gemok semakin berpotensi untuk dikunjungi oleh lebih
ramai pengunjung sekiranya peranannya sebagai hub transit pelancongan dapat
diperkukuhkan.
“Keadaan ini disokong dengan lokasi-lokasi tumpuan yang lain
seperti Entry Point ke Pulau Tioman, Gateway ke Taman Negara Endau Rompin, dan
ke Kuala Rompin dan Kuantan,” katanya.
Menteri Besar Pahang,
YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Perasmian
Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Khas Tanjung Gemok, di
Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis
Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Khas Tanjung
Gemok, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Daerah Rompin, hari
ini.
Turut hadir Ketua Pengarah PLANMalaysia, YBhg. Dato TPr.
Mohd. Anuar Maidin; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan
Negeri Pahang, YB. Abdul Rahim Muda; Ahli Parlimen Rompin, YB. Dato’ Sri Hassan
Ariffin; Pengerusi Ahli Dewan Negeri (ADN) Tioman yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan
Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Haji Hussain; Pengarah PLANMalaysia
Pahang, Puan Harizah Dato’ Haji Hassan; dan Yang DiPertua Majlis Daerah Rompin,
Tuan Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek.
Beliau berkata kedudukan Tanjung Gemok yang berada di
pinggir sungai dan pantai perlu diperkukuhkan potensinya bagi memberi manfaat
dan imej yang baik kepada negeri ini.
“Peranan Tanjung Gemok juga sebagai penyokong kepada Kuala
Rompin yang merupakan pusat pembangunan utama yang berfungsi sebagai pemangkin
kepada pembangunan di pesisian pantai.
“Secara amnya, Tanjung Gemok berada di lokasi yang strategik
dengan lokasi pinggir sungai dan pantai yang menarik sebagai imej pintu masuk
utama ke negeri Pahang, maka, potensi ini perlu dioptimumkan dan diperkukuhkan
supaya dapat memberi manfaat dan impak positif serta membentuk imej yang baik,”
katanya.
Beliau berkata program publisiti bagi RKK Tanjung Gemok ini
akan berjalan selama empat minggu sehingga 31 Julai ini bagi memberi peluang
kepada orang ramai memberikan pandangan dan cadangan bagi draf RKK ini.
Menteri Besar Pahang,
YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat gerai pameran pada
Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Khas
Tanjung Gemok, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin hari ini.
“Saya menyeru kepada pihak-pihak yang berkepentingan dan
sesiapa sahaja yang ingin memberi pandangan dan cadangan terhadap draf RKK
supaya mengemukakan pandangan dan cadangan kepada Majlis Daerah Rompin untuk
diambil tindakan selanjutnya oleh pasukan petugas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah PLANMalaysia, YBhg. Dato TPr.
Mohd. Anuar Maidin berkata RKK Tanjung Gemok merupakan RKK ketiga yang
disediakan oleh PLANMalaysia iaitu selepas RKK Tasik Bera dan RKK Gugusan Pulau
Tioman.
Tambah beliau lagi, sebanyak 122 cadangan keseluruhan projek
mengikut keutamaan telah disenaraikan di dalam draf RKK Tanjung Gemok ini.
“Daripada jumlah tersebut (122), sebanyak 40 cadangan projek
berbentuk ‘quick win’ untuk pelaksanaan segera yang dijangka akan memberi impak
kepada pembangunan Tanjung Gemok untuk tempoh perancangan tahun 2020 dan 2021
telah dicadangkan,” katanya
SUMBER . – PAHANGMEDIA
0 comments:
Post a Comment