KUALA LUMPUR, 14 Julai – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di
bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil alih tampuk
pemerintahan negara Mac lepas telah membuktikan bahawa mereka mendapat
‘bilangan yang mencukupi’ dan keyakinan ahli parlimen di Dewan Rakyat.
Ini ternyata apabila usul untuk memilih Yang Dipertua Dewan
Rakyat yang baharu, Datuk Azhar Azizan Harun mendapat sokongan majoriti ahli
parlimen walaupun mendapat bantahan pembangkang.
Tuduhan liar kononnya PN kerajaan ‘pintu belakang’ dan tidak
mendapat sokongan majoriti ahli parlimen ternyata meleset kerana ia berjaya
memilih Azhar Azizan sebagai speaker baharu menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff
Md Yusoff selepas mengharungi perdebatan yang hangat.
Usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad
Ariff dibentangkan oleh Muhyiddin yang memperolehi 111 undi, sementara
dibangkang oleh 109 ahli parlimen.
Dua ahli parlimen tidak mengundi iaitu ahli parlimen Kota
Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak) tidak hadir berikutan masalah kesihatan dan
ahli parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang mengendalikan
mesyuarat.
Proses di Parlimen yang disiarkan secara langsung melalui
Youtube Parlimen Malaysia itu ditonton oleh ramai rakyat yang mahu melihat
perkembangan terkini PN sebagai kerajaan yang sah.
“Majoriti ini tetap satu ketetapan untuk meluluskan usul itu
(menggantikan Speaker Dewan Rakyat). Ia tetap undi majoriti (merujuk kepada dua
undi diperolehi PN),” jelas pakar undang-undang dan perlembagaan daripada
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul
Aziz.
Apa yang pasti, menurut Dr Shamrahayu, penukaran Yang
Dipertua Dewan Rakyat itu sah di sisi undang-undang walaupun mendapat tentangan
pakatan pembangkang dan ahli parlimen bebas.
Bantahan pembangkang terhadap usul itu semata-mata kerana
ingin menonjolkan bahawa perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah
persidangan Dewan Rakyat selain alasan kerajaan untuk menukar speaker kerana
ada calon lain adalah tidak kukuh.
Pihak kerajaan pula mempertahankan usul itu dengan hujah ia
menepati Perkara 57 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut pertukaran Yang
Dipertua Dewan Rakyat boleh dilakukan pada bila-bila masa dipilih berdasarkan
kepada tiga keadaan.
Pertama apabila Dewan Rakyat bermesyuarat kali pertama
selepas pilihan raya umum; kedua, Speaker boleh ditukar apabila beliau berhenti
menjadi Ahli Dewan Rakyat melainkan sebab oleh pembubaran; dan ketiga, jika
pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian.
Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia
(USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian pula berkata PN berhujah menggunakan
perlembagaan dan peraturan mesyuarat.
“Ianya bukan soal speaker lama tak layak (menduduki kerusi
itu)… pembangkang ada hak untuk bertanyakan serta memainkan peranan mereka
untuk semak dan imbang,” kata Dr Sivamurugan yang juga profesor sosiologi
politik.
Apapun yang pasti, pengundian hari ini bukan sekadar
menyaksikan penukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat tetapi jelas membuktikan PN
mempunyai majoriti kerusi.
SUMBER – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment