PEKAN, 4 Julai --
Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Chini dengan kemenangan besar pada pilihan raya kecil (PRK) DUN itu hari ini.
Calonnya Mohd Sharim Md Zain, 41, menang dengan majoriti
12,650, selepas memperoleh 13,872 undi, manakala pencabarnya dua calon Bebas
iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd
Shukri Mohd Ramli, 49, mendapat 137 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk
Zaliza Zulkipli di pusat penjumlahan undi rasmi di Institut Kemahiran Belia
Negara (IKBN) Pekan dekat sini pada 9.04 malam.
Zaliza berkata terdapat hanya 239 kertas undi yang ditolak,
36 kertas undi tidak dikembalikan selepas semua 13 pusat mengundi ditutup pada
5.30 petang tadi, dengan peratusan keluar mengundi yang direkodkan adalah 74
peratus (15,231 pengundi)
Majoriti diraih Mohd
Sharim itu melebihi dua kali ganda daripada jumlah majoriti yang pernah diraih
penyandangnya sebelum ini Datuk Seri Abu Bakar Harun daripada BN iaitu 4,622
undi, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi, terdiri daripada 10,269
pengundi lelaki dan 10,721 pengundi wanita.
Ini merupakan kemenangan keenam buat BN daripada 11 PRK yang
diadakan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018.
BN sebelum ini menang di Parlimen Cameron Highlands, DUN
Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjung Piai dan Parlimen Kimanis.
Keputusan malam ini menyaksikan kedua-dua calon Bebas hilang
deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima
oleh calon-calon yang bertanding.
Terdahulu, proses pengundian yang bermula 8 pagi tadi
berjalan lancar dengan tiada sebarang insiden yang tidak diingini melibatkan
penyokong calon-calon yang bertanding.
PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian Abu Bakar, 60, pada 7
Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi
wakil rakyat kawasan itu sejak PRU11 pada 2004.
Pada PRU14, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi
selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul
Karim yang meraih 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain daripada PKR
sekadar mendapat 1,065 undi.
SUMBER -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment