KUANTAN -- Isteri kepada mangsa yang maut akibat dilanggar sebuah kereta yang dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol di Jalan Pintasan Kuantan di sini, malam tadi, berharap suspek kejadian itu menerima hukuman sewajarnya.
Zetti Haryanti Hassan, 42, berkata hukuman itu diharapkan
memberi pengajaran kepada individu lain untuk tidak melakukan kesalahan serupa,
sehingga menyebabkan ada keluarga terpaksa kehilangan orang tersayang dan
tulang belakang seperti yang dialaminya.
"Saya dan anak-anak berharap arwah suami akan
memperoleh keadilan. Arwah adalah anak, suami dan bapa yang baik serta
bertanggungjawab, malah kejadian berlaku semasa arwah dalam perjalanan mencari
rezeki untuk keluarga.
"Saya teringat betapa arwah bersungguh-sungguh mahu
membeli rumah semasa kami berkahwin pada tahun 2011 untuk memastikan kami
mempunyai tempat berteduh yang sempurna," katanya semasa dihubungi di
sini, hari ini.
Suaminya, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut selepas kereta
Toyota Yaris yang dipandunya dirempuh kereta Toyota C-HR yang dipandu oleh
seorang peraih ikan berusia 42 tahun secara melawan arus dalam keadaan mabuk
pada kejadian jam 9.20 malam tadi.
Allahyarham Irwan Herman, seorang penyelia di Alam Flora Sdn
Bhd sejak tahun 2016, difahamkan dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Isap
Perdana di sini untuk ke tempat kerja di Gebeng.
Menurut Zetti Haryanti, sudah menjadi rutin setiap bulan
arwah bekerja pada waktu malam mengikut jadual, dan antara tugasan yang perlu
dilakukan pada syif tersebut ialah ke depoh syarikat di Gebeng.
"Arwah seperti biasa sebelum bertolak ke tempat kerja.
Arwah juga ceria semasa kami menyambut Aidilfitri di rumah ibu bapanya di Taman
Guru di sini, walaupun arwah bekerja pada sebelah pagi.
"Cuma, sejak beberapa hari lalu, arwah akan terus tidur
sebaik sahaja pulang dari tempat kerja dan saya beranggapan mungkin arwah
keletihan," katanya.
Zetti Haryanti berkata beliau akan menjaga dua anaknya
berusia lapan dan 14 tahun, termasuk seorang daripada perkahwinan terdahulu
arwah, dengan pendapatannya sebagai peniaga.
Menurut beliau, jenazah suaminya akan dikebumikan selepas
tamat bedah siasat esok kerana pihak hospital perlu melakukan ujian saringan
COVID-19 hari ini.
SUMBER -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment