Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 5, 2020

ELAK SESAK DALAM PASAR RAYA: EXCO




JERANTUT - Semua pemilik pasar raya di negeri ini perlu memastikan pelanggan tidak bersesak-sesak di dalam premis perniagaan masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, sepatutnya hanya 80 orang pelanggan sahaja dibenarkan berada dalam pasar raya pada satu masa.


"Saya lihat ada sesetengah pasar raya tidak mengawal kehadiran pelanggan. Jadi, kita hadkan hanya 80 orang sahaja yang boleh membeli pada satu masa.


"Mereka juga perlu mengarahkan petugas untuk memantau penjarakkan sosial di dalam premis memandangkan pasar raya kini menjadi tumpuan umum," katanya.


Beliau berkata demikian selepas melakukan pemantauan bersama pegawai dari Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jerantut di tiga pasar raya di daerah tersebut di sini semalam.


Hadir sama, Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Abdul Mubin Ahmad.
Ujarnya lagi, satu buku rekod kehadiran pelanggan juga perlu disediakan oleh pemilik pasar raya untuk memudahkan agensi yang terlibat untuk mengesan orang ramai yang hadir sekiranya terdapat individu positif koronavirus (Covid-19).


"Mereka perlu merekodkan nama pelanggan, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan masa tiba di premis masing-masing," ujarnya.


Tambahnya, pegawai dan anggota KPDNHEP akan membuat pemantauan berterusan dan pemilik premis boleh dikenakan tindakan sekiranya gagal berbuat demikian.


"Saya juga sarankan orang ramai agar membuat senarai barangan yang hendak dibeli bagi mengelak mereka berada lama dalam pasar raya," ujarnya.


Tegasnya, seluruh masyarakat di negeri ini perlu memberi kerjasama agar tidak wujud lagi kluster baharu dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.



SUMBER : SINAR HARIAN

0 comments:

share2