ALOR SETAR, 17 Mei – Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan
Sallehuddin Sultan Badlishah telah memperkenan pelantikan Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai menteri besar yang baharu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Ammar Shaikh Mahmood
Naim berkata majlis angkat sumpah pelantikan menteri besar ke-14 itu akan
diadakan pada 3.00 petang ini di Pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, di
sini.
Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa Sultan Kedah sudah
mengadakan perjumpaan dengan semua ADUN pada 15 Mei lepas dan baginda mendapati
bahawa Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti
ADUN.
“Baginda telah perkenan menerima peletakan jawatan Datuk
Seri Mukhriz sebagai menteri besar serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri pada hari ini selaras dengan Perkara 37(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan
Kedah.
“Lanjutan itu, baginda memperkenan pelantikan ADUN Jeneri
sebagai menteri besar baharu kerana mendapat majoriti ADUN mengikut peruntukan
di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah,” katanya
dalam sidang media di sini, hari ini.
SUMBER – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment