KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyediakan
pekerjaan kepada seramai 28 gelandangan yang kini ditempatkan di Pusat
Gelandangan Sementara (PGS) Alor Akar di sini.
Yang Dipertuan MPK, Datuk Hamdan Hussin berkata,
bagaimanapun penawaran peluang pekerjaan tersebut hanya diberikan kepada
gelandangan sihat, muda dan berminat untuk bekerja dengan MPK sahaja.
Menurutnya, mereka akan bekerja sambilan dengan pihaknya
pada hari-hari tertentu setiap minggu yang lebih memfokuskan kepada aktiviti
riadah.
"Golongan terbabit diberikan tugas yang sesuai di tapak
semaian MPK di Taman Teruntum. Antara aktiviti yang dilakukan mereka adalah
seperti menyiram, menyemai, menabung dan menyapu sampah.
"Aktiviti yang dilakukan lebih kepada riadah sambil
mengisi masa lapang mereka, semua kemudahan termasuk pengangkutan disediakan
MPK," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas
mengadakan lawatan di PGS Alor Akar di sini hari ini.
Hamdan berkata, kesemua gelandangan yang diselamatkan dalam
Operasi Selamatkan Gelandangan Dari Covid-19 di bandar ini berada di PGS secara
berperingkat sejak bulan lalu dan seramai lebih 30 individu dibantu.
Katanya, ini kali pertama gelandangan dapat dikumpul di
bawah satu bumbung dalam usaha memastikan bandar ini bebas daripada golongan
terbabit yang tidak mempunyai tempat tinggal disebabkan pelbagai faktor.
Jelasnya, kesemua gelandangan terbabit dibantu oleh
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Dapur Infaq Ummah yang menyediakan
makanan setiap hari dibantu sukarelawan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Pahang yang
melancarkan lagi pengurusan pusat berkenaan.
Dalam pada itu, Hamdan berkata, cadangan menyediakan pusat
gelandangan khas di daerah diharap menjadi kenyataan selepas mendapat kerjasama
kerajaan negeri dan beberapa agensi seperti JKM Pahang serta Majlis Ugama Islam
dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
"Kita sebolehnya ingin memastikan nasib gelandangan di
bandar ini terbela, tinggal di bawah satu bumbung dan menerima pelbagai
kemudahan. Mereka boleh bekerja waktu siang dan malam pulang ke pusat
gelandangan.
"Sekiranya tidak dibantu, nasib gelandangan akan terus
terabai. Kita juga mempelawa syarikat swasta untuk menerima golongan terbabit
bekerja dengan mereka," katanya.
SUMBER : SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment