Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 8, 2020

TIADA BAZAR RAMADAN DI PAHANG, PENGGUNA DAN PENIAGA DIGALAK GUNA PORTAL PAHANGMART


KUANTAN, 8 APRIL 2020: Kerajaan Negeri Pahang membuat keputusan tidak membenarkan penganjuran aktiviti Bazar Ramadan di kesemua kawasan di bawah pentadbiran 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.


Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan ini diambil bagi meneruskan lagi usaha untuk membendung penularan wabak pandemiK COVID-19 yang masih melanda negara dan mengancam kesihatan rakyat.


Menurutnya, ia juga sebagai menuruti saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah yang tidak menggalakkan sebarang bentuk perhimpunan melibatkan orangramai dalam tempoh enam bulan hingga setahun, tanpa mengira sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang dilanjutkan lagi atau tidak.


“Sebagaimana kita sedia maklum, PKP Fasa 1 bermula 18 Mac hingga 31 Mac, telahpun dilanjutkan kepada Fasa 2 sehingga 14 April 2020. Umat Islam pula dijangka memulakan ibadah puasa bulan Ramadan Al-Mubarak pada 24 April 2020.


“Dengan keputusan ini, ia melibatkan 94 lokasi penganjuran Bazar Ramadan di seluruh negeri, serta 4,639 peniaga sepertimana statistik yang direkodkan pada penganjuran Bazar Ramadan tahun lepas (2019) di kesemua 11 PBT dan di bawah pentadbiran Lembaga Pembangunan Tioman (TDA),” katanyta menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.


YAB Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri mengambil peduli dan mengambil berat tentang kesukaran yang bakal dihadapi oleh peniaga-peniaga, serta juga rakyat/pengguna yang pasti terkesan dengan keputusan yang ‘unprecedented’ ini.


Menurutnya, Kerajaan Negeri telahpun meminta pihak pengurusan PahangGo agar dapat menawarkan perkhidmatan dalam talian bagi memudahkan para peniaga untuk terus ‘mencari makan’, manakala rakyat/pengguna dapat membuat pesanan-pesanan makanan untuk juadah berbuka puasa mereka.


“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan melancarkan ‘platform’ pasaraya atas talian atau portal dikenali ‘PahangMart’, yang akan memaparkan senarai pasaraya yang beroperasi dalam negeri Pahang berserta barangan jualan mereka.


“Yang akan turut dipaparkan ialah senarai tapak Bazar Ramadan serta gerai-gerai jualannya, dan rakyat/pengguna boleh melihat gambar juadah yang disediakan lalu membuat tempahan menerusinya,” katanya.


Beliau juga berkata, selain turut menggunakan perkhidmatan penghantaran sedia ada, PahangGo (pihak yang bertangungjawab membina portal PahangMart ini) juga akan menyediakan ‘platform’ penghantaran (runner).


Menurutnya, kepada rakyat Pahang yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar (runner) ini pula, bolehlah menghubungi ‘PahangGo’ menerusi laman sosial mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.


“Menerusi inisiatif ini diharap dapat membantu bukan sahaja rakyat/pengguna untuk membeli juadah Bazar Ramadan dan barangan keperluan harian lain, malah boleh membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak pandemik COVID-19 ini,” katanya


SUMBER . – PAHANGMEDIA

0 comments:

share2