Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pengecualian sewaan untuk tempoh enam bulan yang diberikan kepada semua penyewa premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain adalah mulai Mac hingga Ogos ini.
Jelas beliau, Inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri melalui Pakej Rangsangan Ekonomi ini akan meringankan beban yang ditanggung oleh pengendali premis-premis tersebut yang terkesan akibat ketidakmampuan untuk meneruskan perniagaan di dalam tempoh Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) ini disebabkan penularan wabak COVID-19.
“Memandangkan penyewaan ruang bangunan Kerajaan Persekutuan adalah di bawah bidang kuasa Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan ianya di bawah Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli, maka saya ingin memaklumkan bahawa pengecualian bayaran sewaan bulanan selama enam bulan ini adalah mulai bulan Mac hingga Ogos 2020.
“Kos penyewaan ruang bangunan Persekutuan tidak termasuk sewaan Taska adalah dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM20 juta; dan bayaran sewaan bagi 220 buah Taska di tempat kerja sektor awam seluruh negara pula dianggarkan memberi implikasi kewangan sebanyak RM 5.28 juta,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.
Namun begitu tambah Shamsul, Kementerian dan Agensi di mana penyewa premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain yang beroperasi hendaklah berunding dengan operator masing-masing bagi melaksanakan keputusan ini.
0 comments:
Post a Comment