TEMERLOH, 12 Mac --
PAS Pahang tidak berhasrat untuk menuntut atau menerima jawatan sebagai anggota
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sehingga Pilihan Raya Umum ke-15
(PRU15) meskipun berlaku perubahan politik di peringkat nasional ketika ini.
Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berkata perkara
tersebut diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Harian parti itu hari ini, yang
sepakat bahawa isu jawatan hanya dibincangkan selepas PRU15.
"Berdasarkan pemerhatian, kami melihat perjalanan
pentadbiran kerajaan negeri berlangsung dengan baik dan lancar, jadi kami tidak
berhasrat untuk mengganggu.
"Kami tidak akan menuntut jawatan sehingga PRU15,
kecuali jika ada arahan di peringkat Pusat, yang mana jika berlaku, kami akan
berbincang dengan kerajaan negeri," katanya pada sidang media di Pejabat
Badan Perhubungan PAS Pahang.
Ditanya mengenai jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan
atau anak syarikat kerajaan negeri, Rosli berkata mereka sedia menimbang jika
ada tawaran, namun memahami jawatan itu telah diisi sebelum terbentuknya
Perikatan Nasional.
Beliau juga memberi jaminan bahawa PAS Pahang bersedia
menyumbang buah fikiran, tenaga dan kepakaran kepada kerajaan negeri walaupun
tanpa sebarang jawatan di peringkat pentadbiran.
"Walaupun telah menjadi sebahagian daripada kerajaan
negeri, PAS Pahang akan tetap menjalankan tugas semak dan imbang yang
dilaksanakan semasa kami bergelar pembangkang demi kebaikan rakyat,"
katanya.
Untuk rekod, PAS mempunyai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri
di Pahang dan kesemuanya menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri, terutama
selepas terbentuknya Muafakat Nasional semasa Pilihan Raya Kecil Cameron
Highlands pada Januari 2019.
Rosli juga memaklumkan bahawa mereka bersetuju menerima
tawaran Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk menganggotai
Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Pahang.
"Tawaran dibuat bulan lalu untuk melibatkan tiga ahli
PAS di setiap JKKK. Buat masa ini, kami telah mengarahkan setiap cawangan
menghantar senarai calon yang dapat berkhidmat dengan baik untuk
pemilihan," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa PAS Pahang sedia menerima
bekas ahli Parti Amanah Negara yang ikhlas ingin kembali menyertai mereka.
SUMBER -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment