PETALING JAYA: Dua syarikat utama penghantaran makanan
menambah jumlah penghantarnya bagi menangani peningkatan permintaan sejak
perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.
Shubham Saran, ketua logistik Foodpanda Malaysia memberitahu,
jumlah penghantar syarikat itu meningkat 7.5% dan permohonan kerja naik 37%.
Beliau berkata, syarikatnya mula mengambil sejumlah
penghantar baru seminggu sebelum PKP mula dikuatkuasakan.
“Untuk menampung keadaan semasa, kami mengalu-alukan sesiapa
saja yang memerlukan peluang pekerjaan sementara menghubungi kami melalui laman
pengambilan penghantar kami.”
Jurucakap Grab berkata, syarikat itu memutuskan untuk
menggunakan pemandu e-hailingnya menyokong khidmat penghantaran makanan dan
barang keperluan.
Katanya, khidmat e-hailing merosot sejak PKP bermula.
“Apabila PKP dikuatkuasakan, keutamaan ialah melihat
bagaimana kami boleh memanfaatkan sumber sedia ada.
“Sehingga kini, kami mempunyai berpuluh ribu pemandu di
seluruh negara. Ini membolehkan pemandu kami memanfaatkan ekosistem kami bagi
menjana pendapatan untuk menyara keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan dalam permintaan untuk
penghantaran makanan dan barang runcit serta kekangan terhadap rangkaian
penghantaran antara faktor mereka membuat keputusan itu.
Sebelum ini, sesetengah syarikat dilapor mencatatkan lebih
30% lonjakan pesanan sejak PKP dilaksanakan.
SUMBER : FMT
0 comments:
Post a Comment