UMNO dan Pas tidak menolak kemungkinan membincangkan
pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal bagi mengelak
konflik pada saat akhir.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
ia penting bagi mewujudkan keserasian mahupun persefahaman agar sebarang
pertikaian dapat diselesaikan lebih awal.
Menurutnya, bagaimanapun kedua-dua parti belum menetapkan
masa sesuai untuk mengadakan perbincangan itu.
“Secara rasmi belum bincang, setakat ini mungkin peringkat
negeri sekadar meninjau kerusi berpotensi ditandingi, agihan sama ada untuk
UMNO atau Pas belum lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan
Konvensyen Muafakat Nasional Parlimen Jerlun bersama Mursyidul Am Pas, Datuk
Hashim Jasin di Wisma UMNO Jerlun.
Ismail Sabri berkata, buat masa ini persediaan awal itu
hanya melibatkan peringkat parti masing-masing.
“Saya percaya UMNO dan Pas akan duduk bincang lebih awal,
tak kan bincang bila sudah bubar Parlimen, ketika itu sudah terlambat. Kalau
boleh kita selesaikan semua isu berkaitan kerusi lebih awal sebelum Parlimen
bubar,” katanya.
Menurutnya, sekiranya terlalu lewat diadakan pembahagian
kerusi dibimbangi sebarang pertikaian tidak dapat diselesaikan menjelang PRU15.
“Kita tak mahu sudah bubar Parlimen, baru nak buat
‘matching’ kalau ada masalah tak sempat selesaikan. Kalau ikutkan masih lambat
pada 2023, namun bukan bermakna kita tak buat persediaan,” katanya.
Sementara itu, Hashim mengesahkan Pas sudah mula adakan
perbincangan tidak rasmi di peringkat negeri antara kedua-dua parti.
“Masing-masing ada cadangan cuma belum capai keputusan
muktamad. Pertembungan kerusi yang gagal diselesaikan di negeri akan dirujuk
kepada Pusat, yang akan buat keputusan muktamad. Nak bagi puas semua pihak
memang sukar,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan wujud penghasut yang
akan menjadikan isu terbabit untuk memecahbelahkan Muafakat Nasional.
“Bimbang kita bergaduh di saat akhir sebab kemungkinan ada
penghasut mahu lagakan kita pun ramai, jadi perlu buat persediaan,” katanya.
Hashim turut mengingatkan agar ahli Pas dan UMNO wala (taat)
kepada keputusan pemimpin kelak berhubung perkara itu.
“Kepimpinan pula harus buat keputusan mengikut hukum ALLAH
SWT dan Rasulullah SAW, seeloknya itulah tempat kita bergantung, selain
jawatankuasa Pusat masing-masing,” katanya.
0 comments:
Post a Comment