Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dijangka membuat pengumuman penting petang ini.
Astro AWANI difahamkan, pengumuman berkenaan akan diadakan dalam sidang media sekitar pukul 3 petang ini di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Spekulasi kedua-dua pemimpin kanan PKR itu bakal meninggalkan parti berkenaan sedang bertiup kencang dalam kalangan ahli politik.
"Pengumuman petang ini adalah bagi memberi peluang kepada Azmin dan Zuraida menyatakan secara rasmi pendirian mereka (berhubung keluar parti).
"Langkah seterusnya adalah untuk membentuk gagasan baharu dalam penubuhan kerajaan. Bagaimana caranya, siapa yang terlibat akan dimaklumkan," kata sumber PKR kepada Astro AWANI.
Ketika ini, beberapa pemimpin kanan PKR yang dilihat setia dengan Azmin sedang bermesyuarat di hotel mewah berkenaan.
Selain Zuraida, pemimpin-pemimpin PKR lain yang sedang berhimpun di hotel itu ialah Datuk Saifuddin Abdullah , Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).
Aktivis sosial, Hishamuddin Rais serta penasihat Azmin, Khalid Jaafar juga menyertai pemimpin-pemimpin itu.
Bukan hanya pemimpin PKR, bahkan kelibat Ahli Parlimen Larut dari Bersatu , Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga difahamkan berada di hotel tersebut.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Hamzah turut menyertai mesyuarat itu.
Hamzah merupakan bekas pemimpin UMNO yang keluar dari parti Melayu itu untuk menyertai Bersatu.
Serentak pertemuan itu, ketika ini juga sedang berlangsung mesyuarat Majli Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Astro AWANI difahamkan, antara agenda mesyuarat MPT Bersatu pada pagi ini ialah melihat kemungkinan parti berkenaan membawa haluan sendiri yang sekali gus cenderung kepada penubuhan gagasan baharu seperti yang dijangkakan.
Namun begitu, semua itu masih menjadi tanda tanya. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
Dua mesyuarat dari dua parti memerintah yang diadakan serentak mencetuskan pelbagai persoalan.
Apa lagi, wartawan-wartawan tempatan tidak putus-putus menerima kiriman mesej yang memaklumkan perubahan besar dalam kerajaan dijangka berlaku.
0 comments:
Post a Comment