SUDAH setengah abad Tabung Haji (TH) berperanan menguruskan
secara komprehensif dan sistematik untuk rakyat Malaysia menunaikan ibadah
haji.
Penubuhan TH bermula atas kesedaran bagi menyediakan
kemudahan kepada rakyat di negara ini menyimpan wang untuk mengerjakan haji
kerana pada ketika itu tiada institusi kewangan Islam untuk umat Islam
menyimpan wang bagi menunaikan haji.
Dengan tertubuhnya TH, urusan ibadat haji rakyat negara ini
menjadi lebih mudah dan teratur. Malah, bagi mereka yang pertama kali ke Tanah
Suci pun tidak perlu bimbang kerana TH mengurus semua keperluan mereka.
Idea penubuhan TH dicetuskan oleh Profesor DiRaja Ungku
Aziz, bermula dengan kajian dan memorandum bersejarah bertajuk “Rancangan
Membaiki Ekonomi Bakal–Bakal Haji” kepada kerajaan Malaysia pada Disember 1959.
Memorandum ini mencadangkan penubuhan sebuah badan yang
boleh menyimpan wang serta menguruskan perjalanan bakal haji ke Mekah. Tabung
ini akan memberi pembahagiaan keuntungan bukan pembayaran bunga (riba’) kepada
penabung.
Ungku Aziz pernah menyatakan “Saya tahu Islam mengharamkan
bunga (riba), iaitu bayaran tetap bagi kegunaan pinjaman wang, tetapi tidak
melarang sebarang bentuk pembahagian keuntungan yang tidak ditetapkan semasa
pinjaman. Jadi soal ini serta soal wang untuk ke Mekah yang saya mahu satukan”.
Cetusan dan kesedaran ini akhirnya direalisasikan pada
September 1962, Rang Undang-Undang Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji
telah diluluskan Parlimen. Maka lahirlah Tabung Haji yang kita dibanggakan
selama ini.
Kisah kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Tabung Haji
(TH) sebagai sebuah institusi Haji terbesar negara menjadi kebanggaan rakyat
dan menjadi ikutan daripada negara Islam lain.
Sehingga tahun 2017, Tabung Haji telah menguruskan deposit
melebihi RM73 bilion, mempunyai lebih daripada 9.4 juta pendeposit dan 125
cawangan dengan hampir 10,000 ‘touch-points’ di seluruh negara.
Perniagaan TH tidak hanya tertumpu kepada pengurusan Haji di
dalam negara sahaja, malah turut menceburi bidang pelaburan di luar negara.
Antaranya di Indonesia dalam sektor perladangan, dan di United Kingdom serta
Australia dalam sektor kewangan Islam, teknologi maklumat, minyak dan gas,
hospitaliti, pelaburan hartanah dan pembinaan.
Berpuluh tahun kerajaan BN berusaha membina TH, menambah
jumlah aset dimiliki TH yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pendeposit
TH.
Di sebalik kejayaan tersebut terpalit mimpi ngeri kepada TH.
Semenjak Pakatan Harapan mengemudi negara, aset-aset bernilai TH mula dijual
satu-persatu tanpa mengambil kira sensitiviti pendeposit dan umat Islam.
Belum pun reda dengan isu penjualan ladang Tabung Haji
Plantations, kini tular pula di media sosial berkaitan dengan penjualan atau
pindah milik empat rangkaian hotel kepunyaan TH iaitu TH Hotel Kota Kinabalu,
TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel
& Convention Centre Terengganu. Semua hotel-hotel ini berada di lokasi
strategik bahkan berdekatan dengan lapangan terbang.
Malah laporan kewangan juga menunjukkan setiap tahun
hotel-hotel ini mengaut keuntungan dalam perniagaannya.
Namun penjelasan yang diberikan oleh Menteri yang
bertanggungjawab mengelirukan rakyat. Hotel-hotel tersebut tidak dijual, ia
hanya dipindah milik dan diteruskan operasinya di bawah pengurusan baharu yang
dijenamakan semula.
Saya berpandangan sama ada dijual atau dipindah milik, ia
bukan lagi menjadi milik umat Islam yang menabung dengan TH.
Ia sudah menjadi milik Urusharta Jamaah Property Management
Sdn Bhd (UJPM) sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan (MOF). Apabila kita
sudah tidak memiliki, UJPM yang mengambil alih aset-aset tersebut berhak
melakukan apa sahaja mengikut kehendak mereka. Hendak dijual, dihentikan
operasi, dibuang pekerja sedia ada, diubah konsep patuh syariah kepada
sebaliknya itu hak mereka.
Ini suatu bukti kegagalan PH mempertahankan aset milik orang
Islam yang bermula dengan modal daripada pendeposit Muslim dipindahkan kepada
pemilikan kerajaan yang tentunya mewakili Muslim dan bukan Muslim sedangkan ia
sepatutnya kekal menjadi milik Muslim kerana ia bermula dengan Muslim dan
menjadi aset umat Islam.
Sudahlah kadar hibah tahun lepas yang terendah iaitu 1.25 %
kini aset pulak dipindah milik, seolah- olah pendeposit TH “sudah jatuh ditimpa
tangga”. Walau apapun alasan yang diberikan oleh kerajaan, rakyat
ternanti-nanti apakah kebenaran di sebalik tragedi ini.
Menteri yang bertanggungjawab wajib hentikan aktiviti
menjarah dan pindah milik aset-aset umat Islam. Adakah ia satu konspirasi
terancam bagi melumpuhkan ekonomi umat Islam?
Rakyat sudah menolak politik menyalahkan pihak lain atas
kegagalan tadbir urus, hentikan politik menyalahkan kerajaan terdahulu kononya
punca kepada kemelut yang dihadapi oleh Tabung Haji pada ketika ini.
Rakyat mula menilai siapakah sebenarnya yang mengkhianati
Tabung Haji, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH)?
UMNO konsisten mendesak agar satu Suruhanjaya Di Raja (RCI)
ditubuhkan untuk membuat siasatan dan kajian secara terperinci mengenai tuduhan
dan dakwaan salah laku kononnya pentadbiran terdahulu yang menyebabkan TH
mengalami kerugian dan segala pelan tindakan yang dibuat termasuk penjualan
aset- aset umat Islam merupakan pelan pemulihan TH.
Apakah dinamakan pemulihan jika aset-aset TH milik umat
Islam dipindah milik kepada pihak lain dengan sewenang-wenangnya?
Tahniah kepada seluruh pimpinan UMNO dan PAS peringkat akar
umbi, bahagian dan pusat secara konsisten memberikan penjelasan dan penerangan
dalam isu ini demi kepentingan umat Islam.
Saya yakin kepincangan demi kepincangan yang dilakukan oleh
Kerajaan PH, memberikan kelebihan kepada kita sebagai pembangkang khususnya
Muafakat Nasional.
Dengan syarat kita mampu senada dan seia dalam menguruskan
setiap isu yang timbul.
Alhamdulillah, pagi tadi saya telah mengadakan pertemuan
dengan beberapa NGO Islam yang menyuarakan keprihatinan dan kebimbangan mereka
dengan situasi politik semasa.
Insya-Allah Muafakat Nasional dan NGO Islam akan saling
bergandingan mencari titik persamaan dalam memperjuangkan isu-isu yang
berkaitan dengan kepentingan ummah.
Perbezaann ‘ikhtilaf’ adalah sunnatullah yang pasti terjadi
dan tidak dapat dielakkan, kepelbagaian sudut pandang dan idea adalah satu
kelumrahan dalam setiap urusan dan isu. Apa yang penting adabul ikhtilaf wajib
dijaga dalam setiap perbezaan demi kepentingan ummah. Ia juga bagi mengelak
berlakuanya perpecahan dan pertikaian sesama sendiri.
Sepertimana firman Allah yang bermaksudnya “Sesungguhnya
Allah SWT amat mencintai mereka yang berjuang di jalan-Nya dalam barisan yang
teratur rapi (berorganisasi) seolah-olah mereka sebuah bangunan yang terbina
kukuh.” (as-Saff- 4)
Sesuatu yang mustahil jika tiada langsung pertikaian dan
perselisihan dalam sesuatu keputusan dan pandangan yang dibuat khususnya dalam
organisasi politik yang begitu dinamik bentuknya.
Namun jika kita merujuk kepada gagasan “Umran al- Alam” yang
dihuraikan oleh Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah. Gagasan “Umran al-
Alam” boleh dijadikan sebagai rujukan dan teras kepada pembangunan umat dan
negara melalui Muafakat Nasional.
Kita jadikan Muafakat Nasional platform atau pentas terbaik
bagi UMNO, PAS, BN, Gagasan Sejahtera dan NGO Islam bagi menarik sokongan dan
membina keyakinan rakyat kepada Muafakat Nasional. – UMNO ONLINE
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO
0 comments:
Post a Comment