Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) tidak menawarkan janji-janji manis sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu adalah kerana berpaksikan kepada apa yang boleh dilaksanakan sepenuhnya.
Malah beliau menyebutkan bahawa dirinya tidak mahu dianggap sebagai munafik kerana berjanji perkara yang jelas tidak mampu untuk dilaksanakan sebaliknya dilontarkan semata-mata demi kuasa.
“Kita tidak buat janji melainkan janji itu boleh ditunaikan. Saya tidak sanggup dituduh sebagai orang yang munafik. Kalau kita janji dan kemudiannya kita tidak tunaikan, cakap bohong dan kalau buat kerja dengan tidak amanah itu apa dia…orang munafik.
“Kalau saya tahu…saya boleh janji lebih daripada mereka. Saya boleh janji harga minyak RM1.00. Ada orang cakap ‘bodoh’ Datuk Najib. Patut buat macam-macam janji dulu. Tetapi saya berbalik kepada prinsip saya tidak sanggup orang kata saya munafik.
“Saya tidak sanggup menanggung dosa nanti. Sebab itu kalau kita buat janji kita kena pastikan 100 peratus kita boleh tunaikan. Kalau kita buat janji orang muda, misalnya penyediaan dua juta peluang pekerjaan memang dalam tempoh masa tertentu kita akan wujudkan dua juta pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Ilmu anjuran Penerangan UMNO Malaysia, di sini, Rabu malam. Wacana berkenaan bertajuk ‘Hard Truth : Cash Is King’ dan Program tersebut disiarkan secara langsung menerusi facebok UMNO-Online.
Moderator terdiri daripada Sdr Mohd Shafiq Fadhly dan Sdr Farhan Khairudin.
Datuk Seri Najib turut menyentuh soal pendidikan percuma yang mana jika dilaksanakan ianya akan melibatkan kenaikan cukai yang cukup tinggi.
“Kita dah terangkan misalnya kalau kita bagi pendidikan percuma kita kena naikkan cukai. Siapa nak bayar kos pendidikan kalau tidak kenakan yuran sedikit sebanyak dan tidak ada PTPTN pembayar cukai kena bayar.
“Maknanya kita semua kena bayar…kalau cukai sekarang kena 26 peratus akan naik kepada 40 hingga 50 peratus. Jadi pada saya itu tidak adil sebab itu kita perkenalkan PTPTN,” ujarnya.
Tambah Datuk Seri Najib pendidikan di universiti 90 peratus telah dibiayai oleh subsidi kerajaan malahan yuran pun sama sekali tidak pernah dinaikkkan oleh kerajaan BN.
“Cuma 10 peratus sahaja dikenakan yuran. Dan yurannya tidak pernah dinaikkan oleh kerajaan BN. Tetapi saya diberitahu sekarang ini akan naik…bukan sahaja tidak hapuskan PTPTN tetapi kadar pembayaran pun lebih ketat berbanding zaman BN. Ini satu isu yang agak hangat sekarang,” tambahnya.
Tambahnya lagi masyarakat di luar sana telah dapat membuat penilaian sebenar hari ini setelah 15 bulan memerintah.
“Mungkin mereka boleh buat penilaian 15 bulan kerajaan PH dan kerajaan BN. Apabila dasar-dasar yang begitu menjaga kebajikan rakyat, menjaga kepentingan rakyat dihentikan atau dikuncupkan atau diberi label yang baru jadi orang dah nampak bahawa rupanya apa yang mereka caci selama ini tidak benar.
“Apa yang mereka kutuk selama ini hakikatnya BN jauh lebih baik dasar-dasarnya berbanding kerajaan skarang. Sekarang ini semua mengeluh dan sekarang terkesan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment