PETALING JAYA: Pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 bersama 2
badan bukan kerajaan menggesa Dr Mahathir Mohamad menetapkan tarikh untuk
menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Bersih bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan
Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) memberi tempoh sehingga 9 Mei 2021 untuk
pengerusi Pakatan Harapan itu menyerahkan kuasanya kepada Anwar.
“Ini selari dengan perjanjian pra-pilihan raya umum ke-14
antara gabungan parti komponen PH,” kata Pengerusi Bersih, Thomas Fann pada
sidang media di ibu pejabatnya hari ini.
“Walaupun tidak ada rangka masa yang dinyatakan dalam
perjanjian itu, Mahathir dalam pelbagai majlis sering mengatakan tempoh
peralihan akan mengambil masa 2 ke 3 tahun selepas PH membentuk kerajaan.”
Thomas berkata, Mahathir perlu menetapkan tarikh untuk
mengelakkan khabar angin mengenai konspirasi dalam peralihan kuasa dan
kerjasama antara 4 parti komponen PH terjejas.
“Bagi memastikan kelancaran peralihan, Anwar perlu dilantik
sebagai timbalan perdana menteri 6 bulan sebelum tarikh yang ditetapkan (untuk
beliau menjadi perdana menteri).
“Dengan peralihan yang jelas, ianya akan memadamkan
desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin
mendapat laba daripada ketidakstabilan dan terpecahnya gabungan PH.”
Beliau berkata, gesaan itu yang terkandung dalam surat
terbuka kepada Mahathir dan pimpinan PH akan diserahkan kepada Pejabat Perdana
Menteri hari ini.
Katanya, mereka turut mencadangkan beberapa langkah untuk
mengembalikan kestabilan politik negara.
Ia termasuk mengehadkan tempoh perdana menteri kepada 2
penggal, pengurangan pemusatan kuasa perdana menteri, menyegerakan reformasi
institusi dan mengubah sistem pilihan raya yang lebih inklusif.
Beliau menggesa kerajaan di bawah pimpinan Mahathir dan
Majlis Presiden PH serta Warisan mengambil tindakan segera bagi mendapatkan
keyakinan rakyat terhadap mereka.
“Mesej yang jelas mesti dihantar kepada semua yang kebajikan
negara dan agenda reformasi mendahului kepentingan peribadi dan parti.”
SUMBER : FREEMALAYSIATODAY
0 comments:
Post a Comment