Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 25, 2019

RAKYAT TERUS TERABAI, LEPAS SATU.. SATU ISU PH TIMBUL






Kerajaan hari ini di bawah teraju Pakatan Harapan (PH) dilihat berada dalam keadaan dan senario yang tidak stabil setelah satu persatu isu timbul menyebabkan soal kepentingan rakyat dan negara makin terabai apabila mereka bergelut dengan hal kuasa dan masalah dalaman yang tersendiri.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Din Adam berpandangan gesaan terhadap pembubaran parlimen memang ada asasnya setelah masyarakat sendiri sudah dapat melihat bagaimana celarunya mereka menguruskan negara dan ditambah pula dengan soal jawatan perdana menteri.

Menurut beliau apa yang dibimbangi daripada keadaan berkenaan akan memberi impak kepada ekonomi dan kestabilan negara itu sendiri malah PH juga dilihat sudah tiada integriti dan hak moral untuk memerintah, berikutan sering mengkhianati manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Hari ini kita dapat lihat bagaimana soal perebutan kuasa diperkatakan dan menjadi tatapan kepada masyarakat umum. Soal jawatan perdana menteri selepas Tun Dr Mahathir mungkin boleh dianggap menjadi igauan kepada PH, ditambah pula parti-parti dalam PH itu sendiri nampaknya tidak stabil.

“Gara-gara itu tanggungjawab dalam soal perkara pokok kepada pentadbiran negara dan menguruskan kepentingan serta kebajikan rakyat nampaknya sudah menjadi perkara kedua. Masing-masing dilihat sering mencari kesalahan dan kekurangan antara satu dengan yang lain,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.


Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun seterusnya menambah rakyat sudah mual dan jemu dengan hidangan politik PH yang seolah-olah tidak ada kesudahan kerana apa yang penting bagi rakyat adalah kepentingan mereka terjaga.

“Jika itulah senarionya keadaan serta suasana ekonomi dibimbangi makin merundum dan akhirnya permasalahan sosial makin meningkat, begitu jugalah soal-soal sampingan yang lain.

“Saya percaya rakyat bukannya mahu tahu siapa perdana menteri selepas ini… apa yang rakyat mahu tahu dan lihat ialah apa jadi dengan manifesto serta apa yang dijanji-janjikan sebelum pilihan raya umum yang lalu.

“Rakyat mahu lihat apa yang kerajaan lakukan dan rancang serta laksanakan untuk mereka… soal kepentingan pengguna, soal pembangunan dan infrastruktur untuk mereka, soal kebajikan untuk warga nelayan, peneroka dan masyarakat bandar serta luar bandar sebagai contoh,” tambahnya.

Tambahnya lagi apa yang dipaparkan hari ini tentunya rakyat dapat membuat kesimpulan tersendiri setelah kurangnya kemampuan kepimpinan kerajaan yang hanya sekadar dilihat ‘bijak’ mewujudkan kontroversi isu-isu semasa.

“Inilah yang kita bimbang dan khuatirkan. Janganlah lari daripada persoalan pokok dan hakikat yang sebenarnya. Setelah setahun lebih mengambil alih kepimpinan negara, buktikan dan laksanakanlah tanggungjawab.

“Cukup-cukuplah dan lihatlah ke depan dalam memastikan kepentingan negara dan rakyat tidak terjejas. Pada kita, rakyat tentunya diutamakan dan inilah sebenarnya gambaran masyarakat di luar sana. Sekali ditekankan pembubaran parlimen memang ada asasnya,” ujar beliau.

Sebelum ini, dilaporkan Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyelar kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man gesaannya agar Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya. Beliau turut menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan aneh.

Terdahulu, PAS dilaporkan mahu kerajaan Persekutuan mengambil langkah membubarkan Parlimen dengan segera supaya kepimpinan baharu dapat menstabilkan kembali negara.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu juga penting untuk masa depan lebih teratur dan bersistematik.


0 comments:

share2