Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 22, 2019

JENAZAH ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH DIMAKAM ESOK, PAHANG CUTI ESOK BERKABUNG 40 HARI



Jenazah Sultan Haji Ahmad Shah dimakam esok, Pahang cuti esok berkabung 40 hari



Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan dekat sini selepas solat Zohor esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, jenazah Almarhum dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini petang ini sebelum dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan.

Katanya, penghormatan terakhir bagi pembesar negeri dan orang kenamaan bermula pada pukul 11 pagi esok manakala orang ramai pula bermula malam ini hingga 11 pagi esok.

“Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Makam Diraja Pekan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sultan Haji Ahmad Shah, 88, yang memerintah Pahang hampir 45 tahun mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 8.50 pagi ini.

Almarhum yang merupakan Sultan Pahang Kelima memegang tampuk pemerintahan negeri selama 45 tahun sebelum diambil alih oleh anakanda baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu ekoran keadaan kesihatan baginda yang tidak mengizinkan.

Menurut Sallehuddin, tempoh berkabung negeri adalah selama 40 hari mulai hari ini bagi menghormati kemangkatan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Katanya, sepanjang tempoh bendera negeri dikibarkan separuh tiang.

Menurutnya, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan turut dibatalkan selama tiga hari bermula pukul 12 tengah hari ini.

“Sebagai tanda penghormatan ke atas kemangkatan Almarhum, kerajaan negeri juga mengumumkan esok sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri ini,” katanya.


0 comments:

share2