Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 11, 2019

BINA SEMULA BENTENG DAN PERKUKUH UMNO





UMNO kini sedang membina dua teras utama untuk terus bergerak maju membina semula benteng yang telah runtuh bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Menurut Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, dua teras tersebut adalah memperkasakan parti dan menyusun strategi.


“11 Mei 2019 genap umur UMNO 73 tahun yang mana pada tarikh yang sama iaitu 11 Mei 1946 UMNO telah diisytiharkan pertubuhannya oleh bapa-bapa perjuangan kita.

“Bersyukur kerana parti yang berjuang untuk memerdekakan tanah air, memartabatkan maruah bangsa Melayu dan terus memperjuangkan hak-hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi dan kedaulatan Raja-Raja berperlembagaan di negara ini akan dapat kita teruskan walaupun kita telah gagal mentadbir semula untuk menjadi kerajaan kerana kalah pada PRU-14 yang lalu, tetapi ini tidak bermakna sebagai satu titik berhentinya perjuangan orang Melayu di tanah air kita sendiri”, ujarnya dalam ucapan khas bersempena Hari UMNO ke-73.

Tegas beliau lagi perjuangan akan diteruskan untuk memartabatkan maruah orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi dan kedaulatan Raja-Raja berperlembagaan.

“Ini akan terus kita jadikan wadah utama perjuangan kita. Ia adalah teras kepada perjuangan UMNO sejak mula ditubuhkan dan paksi ini tidak akan diubah… tidak akan disingkirkan sebagai perjuangan yang sia-sia.

“… maka itu, saya berharap dan berdoa supaya kita semua ahli UMNO dan orang UMNO yang sayangkan pada perjuangan, yang masih percaya kepada perjuangan orang Melayu, marilah kita bersama ‘Bersatu dan Bersetia’, untuk kita pastikan kita punya landasan perjuangan melalui UMNO dan kerana itu dua teras utama yang sedang parti usahakan untuk terus bergerak maju harus dilaksanakan,” katanya.

Teras pertama, terang Mohamad adalah memperkasakan parti untuk UMNO bangkit semula selepas keruntuhan pada PRU-14 tempoh hari.

“Jangan kita lihat ke belakang, jangan kita asyik mengkaji dan mentelaah mengapa kita runtuh tetapi apa yang harus kita lakukan adalah kita mesti bersama-sama membina dan bangkit semula daripada keruntuhan tersebut.

“Ini amat perlu kerana jika kita hanya asyik melihat mengapa dan bagaimana kita runtuh dan jatuh, kita tidak akan ke mana bahkan kita akan bersengketa antara satu sama lain. Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah bersama-sama ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’ untuk kita bangun dan bangkit semula.

“Bina semula benteng yang telah jatuh, benteng yang telah lama 73 tahun… runtuh… tetapi saya yakin dengan hasrat, tekad dan iktikad yang baru, benteng yang hendak kita bina ini dan akan kita bina ini merupakan benteng yang lebih kukuh dan lebih kuat lagi untuk kita mempertahankan maruah bangsa, agama dan tanah air kita,” ulas beliau.

Teras kedua yang perlu dilakukan jelas beliau lagi adalah menyusun strategi, mengatur langkah demi memastikan parti keramat ini bangkit semula dan seterusnya memenangi PRU-15.

“Teras kedua ini adalah merupakan strategi dan langkah yang perlu kita ambil untuk kita bersama-sama menghadapi PRU-15, yang saya yakin tidak perlu kita tunggu empat tahun, boleh jadi awal dari itu. Maka apa jua langkah yang perlu kita lakukan mesti kita buat daripada sekarang, kerana itulah sebabnya kita berupaya dan bersusah-payah sekarang ini untuk menyusun strategi.




“Strategi utama kita sekarang adalah memastikan orang Melayu bersatu dan bekerjasama dengan satu lagi parti Melayu yang utama di negara kita iaitu PAS. Kita mesti bekerjasama bersama demi untuk kita bersama bersatu-padukan, demi untuk mencantumkan, demi untuk kita pastikan orang Melayu tidak berpecah-belah lagi. Jika orang Melayu terus berpecah-belah, kita tidak akan ke mana.

“Maka langkah ini harus kita ambil, strategi ini yang harus kita lakukan untuk kita bangkit dan bangun dan kita susun strategi memenangi PRU akan datang,” jelasnya lagi.

Justeru tegas beliau dua teras utama tersebut adalah perkara penting yang perlu digarap dan dilaksanakan dengan segera.

“Saya yakin penuh percaya, semangat akar umbi semakin membara sekarang ini. Semangat orang UMNO di peringkat apa juga baik di Cawangan dan Bahagian, sudahpun meluap-luap untuk kita terus bangun semula. Maka ia perlu disusun baik-baik dan perlu kita strategi baik-baik agar semangat ini akan bercantum.

“Alun-alun di laut jika dicantumkan akan menjadi ombak, ombak pula jika dicantum akan menjadi gelombang. Maka gelombang ini yang perlu ada. Alun-alun di Cawangan bercantum menjadi ombak di Bahagian, ombak-ombak di Bahagian bercantum menjadi gelombang Negeri, gelombang Negeri bercantum akan menjadi tsunami negara, maka tsunami ini yang perlu kita reka bentuk sebaik mungkin bagi kita pastikan UMNO akan terus bangun, bangkit dan bongkar untuk kita menang dan rampas semula pentadbiran kerajaan ini pada PRU-15.

“Inilah yang perlu kita intipatikan dalam kita meraikan hari lahir UMNO ini. Perjuangan perlu kita teruskan, perjuangan perlu kita gandakan demi masa depan anak bangsa, demi masa depan orang Melayu dan agama Islam di tanah air yang tercinta ini,” tegas beliau.


0 comments:

share2