Kuantan, 16.04.2019 : Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan
Ismail berkata walaupun sebelum ini ada seseorang berjawatan di ´sebelah sana´,
pihak di sebelah sana, memberikan tempoh hanya tiga bulan kepada beliau dan
kononnya Pahang akan bankrap selepas itu, namun alhamdulillah sehingga kini
Pahang bukan sahaja tidak bankrap tetapi juga berjaya meningkatkan hasil.
“Kerajaan negeri telah melaksanakan sebanyak lapan inisiatif
baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lepas dalam usaha untuk memakmurkan
negeri dan mensejahterakan rakyat.”
“Antara inisiatif berkenaan ialah penetapan sasaran kutipan
hasil tanah sebanyak 90 peratus yang kini mula membuahkan kejayaan apabila
hasil yang dipungut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.”
"Sehingga Mac lepas, jumlah kutipan hasil yang telah
dikutip meliputi hasil tanah, hasil hutan, hasil air dan lain-lain hasil
mencatatkan jumlah kutipan sebanyak RM120 juta berbanding hanya RM101 juta pada
tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” kata beliau
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mustapa Long
(BN-Padang Tengku) pada sesi soal jawab Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri
Pahang yang bertanyakan tentang pencapaian serta inisiatif yang telah
dilaksanakan oleh kerajaan negeri selepas menang PRU14 lepas.
Langkah mewujudkan aduan rakyat terus kepadanya menerusi
saluran aduan.wanrosdy.com, juga berjaya menyelesaikan banyak isu yang berlaku
di peringkat akar umbi.
Sejak mula ia dilancarkan pada 2018 sehingga 31 Mac lalu,
sebanyak 627 aduan telah diterima melalui saluran aduan rakyat ini dan daripada
jumlah itu 263 aduan telah diselesaikan, 25 aduan dalam tindakan penyelesaian.
Manakala 98 aduan belum dijawab, 172 aduan diklasifikasikan
sebagai tidak releven dan baki 69 aduan lagi merupakan aduan terus kepada menteri
besar.
Mentei Besar berkata kerajaan negeri juga telah menubuhkan Pahang
Corporation sebagai satu langkah strategik untuk penstrukturan dan mengawal
selia prestasi serta perkembangan syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri
(S-GLC) dengan meletakkan ia di bawah satu bumbung.
Katanya dengan langkah itu ia dapat memudahkan lagi kerajaan
negeri memantau prestasi berdasarkan Sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang
ditetapkan di samping memberikan khidmat nasihat kepada S-GLC untuk membuat
pelaburan yang betul dengan pulangan keuntungan yang tinggi.
0 comments:
Post a Comment