Kerajaan Pahang sedang menyediakan blueprint bagi menyusun hala tuju sektor perladangan dalam menambah pendapatan negeri.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Sektor Perladangan Pahang, Dato Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ini termasuklah dengan mengkaji cukai-cukai daripada ladang-ladang persendirian dan komersial yang berkeluasan 40 hektar dan ke atas.
Menurutnya, blueprint tersebut akan menggariskan hala tuju perladangan di negeri ini agar dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri.
"Ladang-ladang komersial adalah ladang 40 hektar atau ke atas. Pahang juga akan merangka garispanduan portfolio perladangan.
"Kita akan mengkaji bagaimana sektor perladangan boleh membantu meningkatkan pendapatan kerajaan negeri. Bagaimana sektor ini akan sediakan pendapatan tetap dan berterusan kepada kerajaan negeri.
"Sama ada mengkaji percukaian, atau memperluaskan lagi ladang yang diuruskan di bawah agensi serta mempertingkatkan aktiviti-aktiviti hiliran. Itu kita akan kaji.
"Kemungkinan akan datang akan ada kilang dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan Seminar Perladangan Negeri Pahang di Pejabat Agama Islam Daerah di sini, semalam.
Hadir sama, Pegawai Daerah Maran, Datuk Zaman Azam Mohamad Sarif@Ahmat dan Ketua Penolong Pegawai Kerajaan Negeri Pahang, Jumshoiry Nordany.
Dalam pada itu, Mohd Sharkar berharap kerajaan pusat dapat memberikan tumpuan serius terhadap masalah harga pasaran komoditi seperti getah dan sawit, yang menjadi sumber pendapatan utama sebilangan besar rakyat Pahang.
"Kerajaan pusat perlu serius cari pasaran baru getah dan sawit. Terutama China, India dan Eropah. Banyak pasaran perlu ditembusi atau ditambah baik keraja situasi sekarang, di mana harga murah dan barang naik, amat menghimpit masalah peneroka sawit dan pekebun kecil getah.
"Kerajaan perlu kaji dasar dan polisi bagi memudahkan eksport serta menarik pembeli luar negara. Bagaimana dasar itu dapat menguntungkan pekebun kecil dan peneroka.
"Selain itu kerajaan perlu menetapkan subsidi istimewa dan menetapkan harga lantai.
"Jika tidak, kepentingan sebahagian besar masyarakat luar bandar akan terjejas dengan harga dan pendapatan yang merudum pada masa kini. Ekonomi luar bandar kini di tahap serius," katanya.
0 comments:
Post a Comment