Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 20, 2018

[KUANTAN] PAHANG TUMPU SEKTOR TENAGA BAHARU






Pahang meletak sasaran untuk menjadi antara negeri tertinggi menggunakan tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy) di Malaysia, menjelang 2020.

Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato' Mohammad Fakharuddin Mohd Ariff berkata, hal ini bagi menyahut seruan kerajaan di Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) yang menyasarkan 20 peratus penjanaan tenaga tersebut, di negara ini.

Menurutnya, pada masa kini, Malaysia menggunakan keseluruhan hanya 12 peratus Renewable Energy seperti angin, solar, biomass dan hidro, manakala 88 peratus bergantung kepada tenaga dari sumber arang batu.

"Negara Eropah seperti Swedan dan Switzerland telahpun mencapai penggunaan 100 peratus. Tidak lagi menggunakan arang batu. Begitu juga negeri Pahang yang mana kita jauh ketinggalan berbanding beberapa negeri di Malaysia seperti Melaka dan Johor yang telah ke depan dalam penggunaan tenaga diperbaharui ini.

"Justeru dalam usaha mencapainya, kita memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan dan pengusaha. Saya berharap jabatan berkaitan juga memberi kerjasama dari segi pemasangan. Jadikannya lebih mudah tanpa melalui proses-proses sukar yang melambatkan tenaga ini dapat digunakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Renewal Energy TNB Pahang di Hotel Hyatt Regency di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Retail TNB Pahang, Rozianus Mohd Noor dan Pengurus Besar New Produk Development TNBX Sdn Bhd, Dr Aznan Ezraie Ariffin yang turut menyampaikan taklimat New Net Energy Metering (NEM) & Supply Agreement With Renewable Energy (SARE).

Fakharuddin berkata, kerajaan Pahang dengan kerjasama TNB akan berusaha mempergiat promosi kepada pengguna tentang penggunaan Renewable Energy.

Menurutnya, jabatan kerajaan mungkin boleh menjadi perintis dalam usaha mempromosikan usaha ini seperti penggunaan tenaga solar di bangunan mereka.

"Sahutlah seruan transformasi kerajaan negeri, seiring slogan Maju Terus Pahang dalam memastikan kerajaan lebih lancar dan efisyen menjana ekonomi negeri, dengan baik," katanya.

Sumber

0 comments:

share2