Pemahaman mendalam terhadap ajaran al-Quran mampu membawa kesatuan umat Islam dalam berdepan cabaran modenisasi hari ini.
Memuliakan al-Quran melalui pembacaan akan memberi petunjuk kepada umat Islam untuk menjalani kehidupan sejahtera sekiranya prinsip dan nilai murni yang terkandung dalam kitab suci itu digarap, dihayati dan diterjemah dalam kehidupan seharian.
Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, al-Quran bukan untuk dihafal semata-mata sebaliknya segala ilmu dan panduan yang terkandung di dalamnya perlu diterjemah secara realiti dalam masyarakat.
Menurutnya, penghayatan mendalam kepada al-Quran juga dapat mengelak salah anggap segelintir pihak kononnya Islam penghalang kepada penyatuan, perpaduan, kemajuan dan pembangunan.
“Walaupun bilangan mereka kecil, golongan ‘the vocal minority’ ini lantang bersuara hingga seolah-olah mewakili majoriti rakyat.
“Mereka cuba mempertikaikan kredibiliti Islam dengan membawa beberapa contoh sebagai menyokong pendapat tersebut antaranya berkaitan murtad, liberalisasi dan fatwa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Penutup Menghafaz al-Quran Peringkat negeri, semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato' Sri Ishak Mohamad, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail, Exco Hal Ehwal Islam, Pelajaran dan Kesihatan, Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah Jaip, Dato' Syed Ahmad Fuad Syed Taha.
Wan Rosdy berkata, syariat Islam tidak bersifat seperti tanggapan mereka sebaliknya Islam merupakan agama yang mampu menyerap sebarang bentuk perubahan.
Katanya, Islam mendokong konsep perpaduan dan kesatuan tanpa mengira batas agama, bangsa, etnik dan warna kulit.
“Islam juga menyeru umatnya agar bersatu padu dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Malah Islam meletakkan garis panduan yang jelas agar umat Islam menghormati penganut agama lain dengan menjalinkan hubungan berdasarkan sifat hormat menghormati, bertolak ansur dan berkasih sayang,” katanya.
Menurutnya, justeru umat Islam perlu meneruskan usaha untuk membetulkan salah anggapan golongan tersebut.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) sentiasa berusaha meningkatkan syiar Islam termasuk melalui penganjuran majlis menghafaz al-Quran.
“Saya yakin melalui program seumpama ini dapat membantu menyemarakkan kefahaman umat Islam terhadap al-Quran,” katanya.
0 comments:
Post a Comment