Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 12, 2018

[KUANTAN] KHAZANAH SENI ORANG ASLI PERLU DIMUZIUMKAN


Khazanah seni Orang Asli perlu dimuziumkan



Seni kraf Orang Asli perlu dimuziumkan supaya dapat mengekal dan memelihara warisan budaya kesenian masyarakat itu pada masa akan datang.

Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato' Sri Wan Abdul Wahib Wan Hassan berkata, perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana terlalu banyak artifak atau seni kraf masyarakat Orang Asli yang perlu disimpan.

“Sebagai contoh seni ukir patung dihasilkan masyarakat Jahut, di Jerantut yang begitu unik dan hasil seni masyarakat Mahmeri dalam menghasilkan topeng.

“Kesemua artifak yang berseni ini perlu dikumpulkan dan disimpan seterusnya di tempatkan di satu tempat (muzium) sebelum ia hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan seminar ketamadunan pembangunan orang Asli di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Kolej Yayasan Pahang (UKYP), Professor Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor Akademik UKYP, Dr Hafizan Mat Som.

Wan Abdul Wahid berkata, malah seni anyaman menggunakan bahan hutan juga sudah jarang kelihatan, jika dibandingkan sebelum ini.


Sebahagian peserta seminar itu.


“Dulu saya pernah tengok anyaman guna bahan dari hutan ini, tapi sekarang saya sudah tak nampak seni itu.

“Malah, masyarakat hari ini sudah tidak tahu menganyam dan jadi saya tidak mahu semua kesenian ini dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Sebelum itu, Wan Abdul Wahid berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta bagi program pembangunan tamadun masyarakat Orang Asli agar kaum terbabit tidak terus dipinggirkan dalam agenda kerajaan.

Jelasnya, kerajaan negeri amat mengambil berat kebajikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli.

Menyentuh mengenai seminar itu, Wan Abdul Wahid berkata, seminar ini dapat meningkatkan kesedaran semua pihak tentang kepentingan pembangunan sahsiah, moral dan pendidikan terhadap Orang Asli dalam menuju ke arah negara maju.

“Saya percaya seminar ini akan memberi manfaat kepada seluruh peserta yang hadir dan di harap dapat menambah ilmu kefahaman dan pengetahuan mengenai pembangunan Orang Asli,” katanya.


0 comments:

share2