Peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) teruja kerana tanah yang dijanjikan kini sudah menjadi milik mereka.
Lebih menggembirakan tidak sampai setahun, dokumen hak milik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) sudah berada dalam genggaman 350 peserta membabitkan penduduk dari Kampung Pulau Raya dan Gunung Senyum.
Notis tersebut diserahkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada penduduk terbabit.
Bagi penduduk Kampung Gunung Senyum, Suriati Ismail, 38 geran tersebut disifatkan khabar gembira buatnya selepas menerima notis 5A sebelum ini.
Suriati berkata, dia berhasrat membina rumah di atas tapak seluas 0.4 hektar itu dan menganggap impiannya sudah menjadi kenyataan.
Reaksi sama turut diluahkan Nurul Suhada Nasri, 26 dari kampung sama.
Nurul Suhada tidak menyangka proses yang dianggap mengambil tempoh lama bukan seperti yang digambarkan.
“Tak sangka sekejap sahaja. Saya akan memanfaatkan pemberian lot tanah ini sebaik mungkin,” katanya yang menerima notis berkenaan di Dewan Terbuka Komuniti Parlimen Kuala Krau.
Hadir sama, Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.
Hampir 1,000 penduduk menyertai majlis tersebut sempena lawatan kerja Menteri Besar ke Parlimen itu.
Turut diadakan majlis ramah mesra bersama kepimpinan Umno Bahagian Kuala Krau yang berlangsung di Dewan Dato Zaharuddin Abu Kassim, Simpang Peragap dan jamuan makan malam bersama penduduk dan masyarakat Orang Asli Dun Jenderak.
0 comments:
Post a Comment