Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 13, 2018

RSN PAHANG 2050 GARIS EMPAT TERAS UTAMA



Wan Rosdy Wan Ismail



Kerajaan Pahang semalam, menggariskan empat teras utama dalam Rancangan Struktur Negeri Pahang (RSN) 2050 untuk memandu arah pembangunan negeri.

Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, empat teras itu ialah ekonomi berdaya maju, kelestarian alam sekitar, kesejahteraan sosial dan spatial seimbang.

Katanya, bagi memastikan kejayaan teras berkenaan, ia disokong dengan 33 dasar perancangan, 97 strategi dan 376 inisiatif pelaksanaan. 

"Saya berharap penghasilan RSN 2050 dapat menyokong hasrat kerajaan dan semua pihak dalam merancang, membangun, mengawal dan memandu arah pembangunan di Pahang.

"Harapan saya ialah semoga sokongan dan kerjasama erat di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan dapat memastikan kejayaan pelaksanaan RSN 2050," katanya semasa berucap melancarkan RSN Pahang 2050 di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Harizah Hassan dan barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Wan Rosdy menambah perancangan dan pengurusan yang bijak perlu dilakukan bagi memastikan sumber semula jadi negeri terus menjadi aset dan sumber ekonomi yang bernilai tanpa menjejaskan alam sekitar.

"Kerajaan Negeri adalah kerajaan yang berdaya saing dan sentiasa mengutamakan pembangunan negeri yang berdaya saing dan seimbang dari sudut pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar.

"Ini sangat penting kerana secara tak langsung melahirkan sebuah negeri yang mempunyai kestabilan politik yang jitu dengan pengurusan sistematik dan berdaya maju serta dapat membina persekitaran kehidupan rakyat lebih berkualiti, cekap dan mampan pada masa hadapan," katanya.

Menerusi RSN 2050, Wan Rosdy berkata terdapat 37 projek berimpak tinggi yang digariskan seperti teras spatial seimbang menggariskan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman, menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah dan memperkukuhkan fungsi Pelabuhan Kuantan sebagai pelabuhan antarabangsa.

Ia juga melibatkan menyempurnakan pembinaan lebuh raya Central Spine Road (CSR), penambahbaikan sistem lalulintas dan perhubungan di Cameron Highlands, penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui dan penggunaan Insinerator and Material Recovery Facilities.

Bagi teras ekonomi maju, antara projek berimpak tinggi ialah pemuliharaan Pulau Tioman sebagai 10 Pulau Terindah Dunia, mengembalikan kegemilangan Cameron Highlands, Janda Baik sebagai sumber pusat pelancongan oksigen Lembah Klang dan cadangan Great Walk, Great Pahang Cycling Route di pesisiran Sungai Pahang dan pesisiran pantai.

Teras kesejahteraan sosial pula menggariskan cadangan pembangunan satu institusi pengajian tinggi berprestij bagi setiap daerah dan penyediaan perumahan mampu milik mencukupi juga bagi setiap daerah.

Manakala projek berimpak tinggi di bawah teras lestari alam sekitar antaranya ialah Kuala Lipis sebagai pelancongan warisan, pengekalan khazanah hutan sebagai pulangan kepada negeri, rizab hidupan liar Kuala Krau sebagai zoo dan safari negara dan pengurusan serta pemuliharaan kompleks gua dan bukit batu kapur Merapoh.

"Menerusi RSN 2015, Kerajaan Negeri menjangkakan kedatangan pelancong ke negeri ini akan meningkat kepada 40.8 juta pelancong pada 2050 berbanding 10.5 juta pada 2015.

"Kerajaan Negeri turut menjangkakan kutipan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2050 turut meningkat kepada RM200,742 juta berbanding RM45,863 juta pada 2015," katanya.

Wan Rosdy menambah bahawa Kerajaan Negeri juga menetapkan sasaran pengekalan kawasan hutan termasuk hutan simpan kekal dan taman hidupan liar melebihi 50 peratus dan 100 peratus pewartaan kawasan tadahan air.


0 comments:

share2