Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 2, 2018

BAJET 2019, KERAJAAN PH DIHARAP AMBIL PEDULI KELUH KESAH RAKYAT





Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berharap Bajet pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) petang ini akan dapat mengurangkan keresahan rakyat apabila banyak khabar angin yang tidak enak didengar bermain di media sosial.

Menurut beliau soal minda subsidi atau memanjakan rakyat tidak sepatutnya ditimbulkan kerana tidak semua rakyat lahir dengan nasib yang sama.

“Kita berbeza dari segi pendekatan hidup yang bermula sejak kita menerima pendidikan awal. Hari ini siapa yang mempunyai pendidikan yang baik akan mempunyai pendapatan yang baik. Bagaimana pula dengan rakyat yang tidak mempunyai pelajaran dan kemahiran yang memungkinkan mereka menyara hidup seperti golongan berpoket tebal.

“Begitu juga golongan petani dan peladang yang bergelut dengan kejatuhan harga kelapa sawit dan getah sejak kebelakangan. Takkan dengan mudah kita menafikan hak golongan yang menjana ekonomi negara ini untuk dibantu di kala mereka susah.
“Semasa Barisan Nasional (BN) mentadbir negara ini, semua golongan rakyat menerima sentuhan bajet yang memenuhi makna merakyatkan ekonomi,” katanya dalan satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Tegasnya semua golongan rakyat mendapat manfaat dari Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Bantuan Awal Persekolahan RM100, Skim Latihan 1Malaysia, Bantuan Untuk Petani dan Nelayan musim bencana alam, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN dan pelbagai geran kementerian termasuklah bonus yang diterima kakitangan awam juga amat membantu rakyat menyediakan keperluan sekolah anak-anak.

“Kita di UMNO Bahagian dan Negeri Selangor tidak pernah lupa menyampaikan bantuan peralatan dan pakaian sekolah Back to School kepada golongan miskin bandar.

“Justeru, bajet 2019 diharap bersifat holistik dan bukan hanya menumpukan kelompok atau negeri tertentu sahaja. Kemiskinan dan kesusahan bukan sesuatu yang diinginkan maka bantulah rakyat kerana dasar ekonomi luar dari kawalan mereka,” ujarnya lagi.


0 comments:

share2