Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 19, 2018

RAKYAT MAKIN TERBEBAN DI BAWAH PEMERINTAHAN KERAJAAN BARU






Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, rakyat kini semakin terbeban di bawah pemerintahan kerajaan baru di mana pelbagai bantuan kepada rakyat dihentikan dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat, manakala kerajaan hari ini pula dlihat masih membuat pelbagai alasan untuk memberhentikan segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat semasa pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Tambah membebankan rakyat menurut Ismail, apabila sistem SST yang dilaksanakan bagi menggantikan sistem GST yang kononnya dapat meringankan beban rakyat, hanyalah retorik politik semata-mata apabila harga-harga barang masih tidak turun, bahkan ada yang meningkat dengan harga yang jauh lebih mahal berbanding ketika pelaksanaan cukai GST.

“Kerajaan baru menjanjikan satu kehidupan yang lebih sejahtera kepada rakyat, namun apa yang jelas hari ini, rakyat terutamanya masyarakat luar bandar lebih sengsara di bawah pemerintahan kerajaan baru ini. Bukan menjadi lebih sejahtera, sebaliknya menjadi sengsara dan derita.

“Sudahlah barangan asas tidak ada penurunan, malah harga-harga komoditi yang menjadi punca pendapatan penduduk luar bandar seperti getah, kelapa sawit jatuh menjunam begitu teruk sehingga memberikan kesan yang besar golongan rakyat yang bergantung kepada hasil tersebut.

“Sebagai contoh, jika dulu harga getah sebanyak RM 2.50 ketika sebelum PRU ke 14, kini turun menjunam menjadi hanya RM 1.90, lebih rendah daripada harga lantai iaitu RM 2.20. Harga kelapa sawit pula, daripada RM 550 satu tan, turun kepada Rm370 satu tan. Penurunan harga yang begitu menjunam ini sudah tentunya memberikan kesan yang besar kepada pendapatan mereka,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program diskusi 100 Hari PH Tipu yang membawa tajuk Rakyat Derita, di mana Dato Dr Azizan dijemput sebagai moderator yang bersiaran secara langsung dalam medium facebook UMNO Online Selasa malam.

Jelasnya, ketika di bawah pentadbiran BN sebelum ini, sekiranya harga kelapa sawit jatuh di bawah RM 400 satu tan, kerajaan akan memberikan pengecualian kepada peneroka untuk menangguhkan segala pembayaran hutang.

“Manakala bagi pekebun kecil getah pula, apabila harga getah menurun dengan begitu teruk, maka kita bagi bantuan secara one of kepada mereka. Kita pernah bagi bantuan one off sebanyak RM500 kepada pekebun kecil apabila harga getah menjunam jatuh.

“Tapi hari ini, di bawah pemerintahan kerajaan baru, langsung tidak ada apa-apa bantuan dan inisiatif yang disediakan kerajaan terhadap golongan ini. Sekarang kita sudah menghampiri musim tengkujuh, masih belum dengar lagi apakah kerajaan akan memberikan bantuan bulanan musim tengkujuh atau pun tidak.

“Begitu juga bantuan terhadap nelayan. Sehingga hari ini, kerajaan masih mengkaji lagi sama ada elaun nelayan yang diperkenalkan oleh kerajaan waktu pentadbiran BN dulu sebanyak RM 300 sebulan akan diteruskan atau tidak,” jelasnya.

Sebab itu, ketika di bawah pentadbiran BN sebelum ini, kerajaan BN akan sentiasa memikirkan bagaimana dan apa bantuan yang boleh diberikan kepada rakyat yang memerlukan bagi meringankan beban mereka, khususnya dari golongan peneroka, pekebun kecil, nelayan, petani termasuklah rakyat yang tinggal di bandar-bandar.

“Kalau dulu, apabila kerajaan perkenalkan GST, kita tahu ada sedikit bebanan terhadap rakyat dari segi harga barangan, walaupun barangan makanan asas tidak dikenakan GST. Sebab itu, kerajaan wujudkan BR1M sebagai pemberian balik atau bantuan untuk meringankan beban rakyat. Apa yang kerajaan kutip, kita bagi balik kepada rakyat yang memerlukan dalam skim bantuan tersebut.

“Tapi kerajaan hari ini, saya difahamkan mereka akan menghapuskan skim bantuan tersebut secara keseluruhannya atas alasan pemberian bantuan seperti itu hanya memanjakan rakyat, menyebabkan rakyat malas untuk bekerja.

“Jadi alasan yang diberikan oleh kerajaan hari ini tidak logik. Mana boleh rakyat tidak bekerja dan semata-mata mengharapkan bantuan BR1M yang hanya diberikan setahun sekali, atau bantuan bermusim yang lain?

“Sudahlah harga barang naik, harga hasil komoditi pula turun, ditambah pula tiadanya bantuan kerajaan. Sudah pasti, kehidupan masyarakat luar bandar, terutama orang miskin sangat menderita di bawah pentadbiran kerajaan hari ini,” ujarnya.

Katanya lagi, begitu juga dengan kehidupan rakyat yang tinggal di dalam bandar, yang terus terbeban dengan kenaikan harga barangan, harga minyak yang tidak turun-turun walaupun ada pemimpin PH yang berkata, apabila PH pegang pemerintahan, harga minyak akan turun RM1.50.

“Kegagalan pimpinan kerajaan hari ini dalam mengurus tadbir ekonomi dan negara telah menyebabkan kesannya kini ditanggung oleh rakyat di seluruh negara, baik yang berada di luar bandar mahupun yang tinggal di dalam bandar.

“Jadi jelaslah, segala janji-janji yang dibuat oleh PH sebelum pilihanraya adalah janji palsu dan harapan yang diberikan kepada rakyat juga adalah harapan kosong semat-mata,” tegasnya.


0 comments:

share2