Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini mendesak Peguam Negara supaya menjelaskan kenapa pendakwaan ke atas Lim Guan Eng ditarik balik dan kenapa kes ini bukan satu bentuk gratifikasi atau rasuah sedangkan beliau merupakan penjawat awam yang menerima harta yang jelas rendah nilainya.
Menurut ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki, mahkamahlah yang sepatutnya menentukan sama ada Guan Eng benar-benar bersalah ataupun tidak dalam kes ini dan bukannya peguam negara, memandangkan kes ini sudah pun berjalan dengan memanggil 25 saksi.
“Institusi Peguam Negara haruslah tidak bersifat partisan, berintegriti dan memartabatkan prinsip kedaulatan undang-undang sebagaimana yang dicanang-canangkan.
“Pengguguran kes Guan Eng tanpa penjelasan yang kukuh dan justifkasi yang jelas oleh Peguam Negara hanya menyerlahkan bahawa keadilan hakikatnya tidak dilaksanakan.
“Akhirnya hari ini, kita dapat melihat bukannya ‘Rule of Law’ yang dimartabatkan tapi ‘Rule of Jungle’ yang diamalkan”, tegasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini..
Jelas beliau lagi rakyat yang dimomokkan dengan mantra ‘Rule of Law’ pastinya tertanya-tanya apa justifikasi pengguguran kes ini kerana kes rasuah banglo YB Lim Guan Eng adalah kes yang mirip kepada sabitan kes rasuah Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo sehingga dipenjarakan.
Justeru tambahnya, keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas yang juga bekas Peguambela Lim Guan Eng menggugurkan pendakwaan kes rasuah Guan Eng ini amat menduka-citakan dan menjadi titik hitam dalam sejarah bagi Malaysia Baharu di bawah Kerajaan PH.
“Lebih mengejutkan lagi apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri mengeluarkan kenyataan ‘amat terkejut’ dengan keputusan pengguguran kes rasuah Lim Guan Eng ini.
“Ini menambahkan lagi keyakinan rakyat betapa kes Lim Guan Eng ini mempunyai asas dan justifikasi pendakwaan yang jelas dan kukuh untuk didakwa,” jelasnya.
Pengguguran kes rasuah Menteri Kewangan ini kata Asyraf lagi, bukan pertama kali dilakukan oleh peguam negara bahkan melengkapi beberapa kes lain yang digugurkan melibatkan individu-individu yang berkepentingan kepada kerajaan PH.
“Pengguguran ini melengkapkan siri-siri pengguguran kes-kes yang melibatkan pimpinan PH sejak Tommy Thomas dilantik termasuklah YB Hassan Karim MP Pasir Gudang, YB Thomas Su MP Kampar, R. Sivarasa MP Sungai Buloh dan N. Surendan mantan MP Padang Serai.
“Malah pengguguran kes turut melibatkan aktivis PH seperti Ratu Naga dan Kartunis Zunar. Penguguran kes-kes ini jelas memperlihatkan sikap pendakwaan terpilih (selective prosecution) oleh pihak Peguam Negara tanpa justifikasi yang kuat dan meyakinkan” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment