Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 5, 2018

NAJIB YAKIN DAPAT BERSIH NAMA MELALUI PROSES KEADILAN






Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dakwaan terhadapnya sudah dijangka dan yakin akan dapat membersihkan namanya menerusi proses keadilan.

“Saya tidak bersalah. Ini merupakan peluang terbaik untuk saya membersihkan nama saya setelah ditohmah dan dituduh,” katanya.

Katanya beliau turut menghormati keputusan hakim yang mengeluarkan perintah larangan supaya tidak boleh bercakap lebih tentang pertuduhan terhadapnya.

“Kalau inilah harga yang terpaksa saya bayar, kerana selama 42 tahun saya berkhidmat untuk rakyat, saya reda.

“Apa yang saya harap dan doakan bahawa proses keadilan ini merupakan proses yang benar-benar adil,” katanya kepada pemberita selepas selesai prosiding pendakwaan terhadapnya berhubung kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, semalam.

Sementara itu, Najib kelihatan tenang apabila meninggalkan perkarangan kompleks mahkamah itu.

Ikat jamin beliau sebanyak RM1 juta dibayar secara ansuran RM500,000 oleh dua anaknya iaitu Nooryana Najwa dan Norashman di mahkamah pada kira-kira 2.45 petang.

Anggota Parlimen Pekan berkenaan tiba pada kira-kira 8.17 pagi di mahkamah tersebut dan keluar pada kira-kira 3.27 petang dengan kawalan ketat beberapa anggota polis.

Kelmarin, Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengesahkan Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada kira-kira 2.35 petang.

Najib dikenakan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. SRC International ialah bekas anak syarikat 1MDB.


0 comments:

share2