Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 10, 2018

PAS JANGKA BERLAKU PRN DI KEDAH



Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man



Kota Bharu - Pas menjangkakan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang belum selesai sehingga kini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, situasi sekarang kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan pembangkang masih lagi dalam keadaan ternanti-nanti.

“Sebenarnya Pas sudah menawarkan pembentukan kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti politik di negeri ini.

“Tujuannya adalah bagi mengelakkan berlakunya PRN kerana ia merupakan jalan terbaik untuk keluar daripada krisis itu. Malah, dalam sistem demokrasi banyak negara sudah buat dan kita sudah kemuka cadangan, terpulang pada kerajaan negeri untuk terima atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas kali ke-45 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas bersedia berhadapan dengan segala kemungkinan yang berlaku.

“Pakatan Harapan (PH) boleh cadang dan Pas juga boleh mencadangkan Speaker DUN negeri.

“Pengundian akan berlaku dalam menentukan kerusi tersebut dan sekiranya seri iaitu PH 18 kerusi menyokong dan pembangkang terdiri daripada Pas (15) dan Barisan Nasional (3), maka, kemungkinan besar PRN terpaksa diadakan,” jelasnya.


0 comments:

share2