Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 24, 2018

[ROMPIN] KEMBARA RAMADAN TEMENGGONG PELUANG DEKATI RAKYAT


Kembara Ramadan Temenggong peluang dekati rakyat
Pelajar Madrasah Tahfiz Al-Umm bergambar bersama pemain import pasukan Pahang Mohamadou Sumareh (tengah) selepas selesai bersahur dalam majlis yang diadakan di Masjid Pontian.



Kembara Ramadan Temenggong yang masuk tahun keempat, kelmarin berlangsung lebih meriah dengan pelbagai acara sampingan bagi mendekati rakyat.

Program sepenuhnya disertai putera bongsu Sultan Pahang, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Shah Sultan Ahmad Shah ini turut diadakan bagi membantu keluarga asnaf terpilih di seluruh Pahang.

Tengku Fahd yang juga Pengasas Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET) berkata, kesempatan yang ada di bulan puasa ini memberikan ruang kepadanya mendekati rakyat terutamanya golongan yang memerlukan.

“Saya rasa amat gembira dapat meneruskan kembara pada tahun ini di mana kita akan menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan makanan dan wang tunai kepada 110 buah keluarga asnaf daripada 11 buah daerah di negeri Pahang.

“Acara ini mendekatkan saya selaku wakil keluarga Diraja kepada kehidupan seharian masyarakat dan aktiviti masuk kampung ini sangat menyeronokkan,” katanya ketika ditemui di Dataran Rompin, semalam.

Hadir sama YM Tengku Puteri Ilisya Ameera Tengku Abdullah dan YM Tengku Aidy Shah Tengku Kamil.

Selain menziarahi serta bersahur bersama asnaf dan penduduk kampung, Tengku Fahd bersama pasukan futsal Kuantan Rangers FC mendekati generasi muda di daerah Rompin dengan perlawanan persahabatan dengan pasukan pilihan Rompin FA 1, 2 dan 3.

Mengakhiri kembara di daerah Rompin, beliau turut menziarahi dan menyampaikan bantuan kepada tiga keluarga asnaf di Kampung Parit Raja serta bersahur dan menyampaikan bantuan kepada tujuh lagi keluarga asnaf dan bersahur di Masjid Pontian, Rompin.

Pada hari sebelumnya, beliau turut beramah mesra dan meluangkan masa bermain permainan tradisional bersama kira-kira 30 penghuni Rumah Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah, di Indera Mahkota.

Beliau singgah ke Kampung Sungai Lembing menyampaikan sumbangan kepada 10 buah keluarga asnaf dan berbuka puasa di pusat pemulihan orang cacat di Sungai Lembing.


0 comments:

share2