Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 7, 2018

PEMBANGUNAN RANCAK DI PARLIMEN LIPIS



Pembangunan rancak di Parlimen Lipis



Kira-kira 8,000 penduduk Dun Cheka di kawasan Parlimen Lipis akan menikmati akses jalan raya yang lebih baik apabila kerajaan meluluskan peruntukan bernilai RM400 juta bagi pembinaan laluan dari Kampung Mela ke Jerantut.

Penyandang kerusi Parlimen Lipis, Dato' Abdul Rahman Mohamad berkata, laluan baharu tersebut akan melalui jalan Kampung Mela-Kampung Gemunchor-Kampung Batu Balak-Bandar Jerantut dilihat mampu menjimatkan masa pengguna jalan raya berbanding laluan yang ada sekarang.

Menurutnya, pembinaan jalan termasuk beberapa buah jambatan di laluan itu merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan keselesaan rakyat khususnya di luar bandar.

“Kelulusan jalan raya baharu ini ditambah dengan jambatan konkrit Kampung Gemunchor, Mukim Cheka 1 yang merentangi Sungai Jelai bernilai RM14.5 juta di bawah projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang siap tahun lalu memberi kelegaan kepada penduduk setempat yang berulang-alik untuk ke kebun menggunakan laluan ini.

“Jambatan konkrit ini dibina bagi menggantikan jambatan kayu yang merupakan laluan balak yang boleh membahayakan nyawa pengguna kerana berisiko runtuh pada bila-bila masa disebabkan semakin uzur,” katanya di sini, hari ini.

Abdul Rahman yang juga calon BN P079 Parlimen Lipis berkata, kerajaan di bawah KKLW juga telah meluluskan peruntukan bagi membaiki jalan ke Kampung Gemunchor sebanyak RM2 juta sekali gus mencerminkan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak sentiasa prihatin terhadap penduduk luar bandar.

Tambahnya, antara projek pembangunan lain yang rancak dijalankan di Parlimen Lipis ialah jalan raya Central Spine Road (CSR) dari Kampung Relong Lipis ke Gua Musang, Kelantan sejauh 92.5 kilometer yang menelan belanja RM2.2 bilion.

“Sejumlah RM50 juta juga telah diluluskan kerajaan bagi membaik pulih loji Mela sekali gus membantu menangani masalah bekalan air bersih di beberapa buah kampung termasuk Kampung Dala, Ganding, Redan, Serdang serta Samak Jani.

“Baru-baru ini juga sewaktu kehadiran Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak ke Parlimen Lipis, beliau telah meluluskan beberapa peruntukan termasuk membaik pulih loji air Benta sebanyak RM71 juta, Kompleks Sukan Belia di Bandar Lipis bernilai RM10 juta dan mesin pengimbas (CT Scan) untuk kegunaan Hospital Kuala Lipis bernilai RM3 juta,” katanya.

Beliau turut mengharapkan agar pengundi di Parlimen Lipis terus memberi kepercayaan dan mandat untuk kerajaan BN memerintah bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Melihat sokongan dalam kalangan para pengundi sekarang, kita optimis dan percaya BN dapat mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen serta tiga Dun sekali gus mencapai misi 1LipisKekalBN.

“Kita juga telah melipat gandakan usaha sewaktu berkempen sehingga menjelang hari mengundi 9 Mei ini,” katanya.

Sumber

0 comments:

share2