Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 7, 2018

[KUANTAN] MEMBANTU TAK MENGIRA BANGSA






Seorang ibu tunggal tidak menyangka kunjungan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum, Tee Choon Ser ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ke rumahnya kelmarin membawa sinar harapan buatnya.

Mana tidaknya, kehidupan Che Fatimah Abas di Kampung Tengah itu, menyentuh perasaan Choon Ser untuk membantu membaik pulih kediaman wanita itu sekali gus memberikan kehidupan yang lebih selesa buat warga emas berkenaan.

Che Fatimah, 65, berkata sebaik dikunjungi pada Jumaat lalu, Choon Ser menyatakan kesudian untuk membaiki rumahnya itu dan dia sama sekali tidak menyangka ia mampu disiapkan dalam tempoh dua hari.

"Saya ucapkan terima kasih kepada beliau (Choon Ser) yang berusaha membaik pulih rumah yang uzur ini. Sejak menetap di sini selama 35 tahun, ia tidak pernah dibaik pulih, saya bersyukur masih ada pihak yang sudi membantu untuk keselesaan kami sekeluarga.

"Sebaik didatangi calon BN (kerusi DUN) Teruntum, saya gembira kerana beliau berjanji untuk membantu balik pulih rumah, terutama bahagian lantai, atap dan dinding rumah," katanya ketika ditemui sempena Program Ziarah Kasih di sini, semalam.

Dia yang tinggal bersama empat anaknya itu mengakui tidak berkemampuan menanggung kos membaiki rumahnya dan bantuan diterimanya itu adalah rezeki buat mereka sekeluarga.

Sementara itu, Choon Ser berkata, bantuan itu sebagai tanda prihatin dan simpati dengan keadaan rumah Che Fatimah yang uzur dan perlu dibaiki segera.

Beliau mengakui terkejut kerana keluarga Che Fatimah masih boleh tinggal di rumah itu walaupun atap dan lantai rumah yang mengalami kerosakan.

"Bagi memastikan keselesaan, saya berterima kasih terhadap sumbangan individu yang sudi menghulurkan sumbangan untuk membaiki rumah keluarga ini," katanya.


0 comments:

share2