Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 23, 2018

[BENTONG] WAKIL RAKYAT TERPILIH PERLU JADI IKON PERPADUAN






Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah bertitah agar semua wakil rakyat yang dipilih dapat menjalankan amanah yang diberi sebaik mungkin.

Titah baginda, kemenangan itu bukan perkara yang diterima dengan mudah kerana ia mempunyai tanggungjawab yang berat dan mewakili suara rakyat

“Wakil rakyat tidak kira dari parti mana pun perlu memberi perhatian kepada rakyat di tempat mereka terutamanya dalam membantu golongan memerlukan seperti anak yatim, warga emas, orang kurang upaya dan sebagainya.

“Mereka (wakil rakyat) juga perlu menjadi ikon dan bertindak sebaik mungkin dalam menyatupadukan anggota masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama di kawasan masing-masing dan bukan menimbulkan perpecahan dan perbezaan,” titah baginda pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan Yang Memerlukan di Masjid Sultan Abu Bakar, Kampung Janda Baik.

Baginda bertitah dihadapan kira-kira 1,000 orang penduduk Kampung Janda Baik termasuk 200 pelajar-pelajar dari lapan buah Maahad Tahfiz.

Mengiring baginda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada majlis yang sama, Tengku Abdullah mengampuni limpah perkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan peribadi baginda dan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) kepada 189 orang golongan yang memerlukan.

Penerima terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya yang menerima wang tunai, barang-barang keperluan harian dan kuih muih raya.

Turut menerima kurniaan duit raya kira-kira 180 orang kanak-kanak yang hadir bersama ibu bapa masing-masing di majlis tersebut.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bentong, YH Dato’ Azhar Arshad, Exco Kerajaan negeri, Yang Berhormat Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili Menteri Besar Pahang, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad dan isteri, Exco Kerajaan negeri, YB Dato’ Nazri Ngah.

Antara kenamaan lain, Timbalan Yang DiPertua MUIP, YDH Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Dato’ Haji Mohamad Noor Abdul Rani, dan YAA Hakim Mahkamah Syarie Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Md. Yunos.

Turut hadir, tiga pemimpin Pakatan Harapan, Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari, Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Bentong, YB Wong Tack, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabai, YB Kamache A/P A Dorai Rajoo.


0 comments:

share2