Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 16, 2018

MBD ROMPIN HARGAI JASA ATLET



MBD Rompin hargai jasa atlet



Majlis Belia Daerah (MBD) Rompin bangga kejayaan dua atlet angkat berat daerah ini yang masing-masing membawa pulang pingat emas dan gangsa di Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Kejayaan Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad merangkul emas manakala pingat gangsa diraih Mohamad Fazrul Azrie Mohdad membuktikan Rompin berjaya melahirkan jaguh angkat berat secara berterusan.

Bagaimana pun, sumbangan besar mereka itu jangan diangkat ketika tersohor sahaja, akan datang dilupakan apabila mereka sudah bersara sebagai atlet.

Pengerusinya, Mohd Hafiz Bakar menggesa pihak berkenaan agar menghargai jasa atlet itu yang mengharumkan nama negara terutama dalam temasya sukan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, kerjaya sukan ada had usia dan mereka memerlukan kerjaya lain bagi menyara hidup selepas itu.

“Bangga memang bangga tetapi kita harap mereka tidak dirai ketika ini sebaliknya memberi peluang lain atau membantu selepas tidak berkecimpung dalam sukan lagi.

“Sudah ada sejarah di daerah ini atlet angkat berat yang pernah tersohor kini sudah tiada apa-apa dan hidup susah, kita tidak mahu atlet kebanggaan rakyat Malaysia khususnya masyarakat Rompin jadi begini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, mengelak susah di kemudian hari Mohd Hafiz turut menasihatkan atlet terlibat bersedia dan merancang masa depan mereka.

“Tidak kira dilantik sebagai jurulatih, diberi pekerjaan atau diberi bantuan perniagaan, semua ini perlu dilakukan sebagai persediaan atlet sebelum mereka bersara,” katanya.


0 comments:

share2