Shah Alam – Manifesto Barisan Nasional (BN) Selangor bertemakan ‘Better Selangor’ Yakinlah BN Lebih Baik yang dilancarkan oleh pengerusinya, Tan Sri Noh Omar pada Ahad lalu dijangka mampu membela kebajikan rakyat khususnya menangani kos sara hidup.
Manifesto yang terdiri daripada 10 program merangkumi 100 inisiatif fokus untuk rakyat Selangor dilihat lebih prihatin kepada denyut nadi rakyat Selangor dengan memberi penekanan kepada kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat bandar.
Tinjauan TheRakyat ke Parlimen Shah Alam baru-baru ini mendapati orang ramai sangat berpuas hati dengan akujanji BN Selangor lebih-lebih lagi komitmen untuk menyelesaikan masalah air dan isu pemilikan perumahan khususnya golongan muda.
Razalee Ahmad
Seorang peniaga, Razalee Ahmad, 45 yang ditemui menyifatkan manifesto yang menawarkan rumah transit kepada pasangan baru berkahwin dan 50,000 unit rumah mampu milik mampu menjamin masa depan dalam pemilikan kediaman.
“Dulu nak dapatkan rumah di zaman saya mudah dengan harga RM42,000 hingga RM45,000. Sekarang amat sukar, rumah paling murah pun RM300,000 hingga RM400,000
“Mereka yang baru berkahwin pun dalam Manifesto BN Selangor juga disediakan Rumah Transit sementara mengumpul kewangan untuk membeli rumah sendiri,” katanya kepada TheRakyat, di sini, baru-baru ini.
Selain perumahan, Razalee turut menyifatkan tawaran pendidikan percuma di sekolah rendah agama (SRA) di Selangor sebagai satu rahmat kepada anak-anaknya kerana ia masih dikutip oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH).
“Ini satu peluang bagus kepada kita terutamanya orang Melayu yang menghantar anak ke sekolah agama. Selama ini kita kena bayar yuran termasuk PIBG yang membebankan,” katanya.
Musalis Abdullah
Tawaran pendidikan percuma itu turut disambut baik oleh seorang pesara penjawat awam, Musalis Abdullah, 62, yang meyakini boleh dilaksanakan oleh BN sekiranya rakyat memberi mandat baharu di Selangor.
“Saya percaya kepimpinan BN Selangor akan menunaikan janji-janji melakukan perubahan khususnya pendidikan sekolah agama.
“Saya amat bersetuju kerana dari segi agama kita perlu titikberatkan khususnya generasi akan datang,” katanya.
Kamsiah Salfudin
Bagi seorang penjawat awam, Kamsiah Salfudin, 54 berkata, rumah transit sudah diperkenalkan oleh pemerintahan BN di Selangor sebelum ini khusus kepada golongan tidak berkemampuan untuk menyewa rumah.
“Kerajaan Negeri Selangor sekarang hanya mengekalkan rumah transit sedia ada, malah tidak menambah unit rumah transit, malah mereka juga menaikkan harga (sewa), baiki rumah usang pun tiada,” katanya.
Mohd Redza Mohd Karimun
Sementara itu, Pengerusi Perwakilan Penduduk Zon 22, Sekysen 16, Mohd Redza Mhd Karimun, 38 berkata, dia teruja dengan manifesto yang memperkenalkan pembangunan semula perumahan yang berusia lebih 30 tahun.
“Perumahan lama yang dibina PKNS lebih 30 tahun lalu, hanya berkeluasan 450 kaki persegi. Sudah tentu pada zaman ini tidak lagi relevan dan bersesuaian dengan kehendak semasa.
“Saya sebagai waris rumah lama merasakan pembangunan semula yang dijanjikan oleh BN Selangor sangat baik dan begitu hebat.
“Ia adalah satu model kesejahteraan rakyat supaya kehidupan lebih baik dan menjadi lebih sejahtera dengan pembangunan semula rumah-rumah lama PKNS terutamanya di Selangor,” katanya.
Mohd Redza turut berkata, usaha membaik pulih rumah-rumah lama sudah tidak relevan walaupun kerajaan pusat memberikan bantuan hingga menelan belanja berjuta ringgit.
“Saya rasa lebih baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor baharu jika diberi mandat oleh rakyat saya yakin dapat melaksanakan pembangunan semula perumahan usang,” katanya.
Ramze Ramli
Menurut seorang peniaga, Ramze Ramli, 49, tawaran harga sewaan dewan orang ramai sehingga 50 peratus merupakan sesuatu meringankan beban khususnya kepada ibu bapa yang menguruskan majlis perkahwinan anak.
“Saya lihat insentif yang diberikan oleh BN Selangor memberikan kebaikan dan kemudahan kepada anak muda hari ini
“Tawaran sewaan dewan separuh harga oleh kerajaan baharu BN sekurang-kurangnya dapat meringankan beban, kos perkahwinan hari in agak tinggi,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment