Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 15, 2018

[KUANTAN] LIBATKAN KELUARGA PENAGIH DALAM PROGRAM PEMULIHAN



Libatkan keluarga penagih dalam program pemulihan dadah



Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta pihak berkuasa mengadakan perancangan jangka panjang dalam melaksanakan program pemulihan dadah dengan melibatkan ahli keluarga penagih.

Baginda bertitah, kesedaran di peringkat ahli keluarga penting supaya mereka dapat memberikan sokongan moral bagi mengelak tidak mengulangi tabiat buruk itu selepas menjalani program pemulihan.

Titah baginda, usaha ini perlu dimainkan semua pihak terutama polis, pihak Felda, NGO, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan kerajaan negeri melalui perancangan jangka panjang yang lebih berkesan.

“Dalam perancangan pemulihan itu, ia bukan hanya melibatkan penagih, malah setiap keluarga mereka perlu dilibatkan bersama.

“Saya perhatikan, jika keluarga tidak diberikan kesedaran dan dilibatkan sama dalam program pemulihan dijalankan, proses membendung dan memulihkan penagih sukar untuk dicapai.

“Sebab itu saya lebih suka sekiranya program kaunseling kepada keluarga yang terbabit diteruskan supaya masalah sosial ini dapat dikurangkan pada masa akan datang,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika menyampaikan titah diraja pada Majlis Makan Malam Amal Menjunjung Kasih 2018 anjuran Drugs Intervention Community (DIC) – Komited Malaysia di Bukit Gambang Resort di sini, malam semalam.

Tengku Abdullah turut mengulangi kebimbangan tentang masalah penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan tanah rancangan Felda di negeri.

Titah baginda gejala itu perlu ditangani dengan satu tindakan yang serius dan komited.

“Saya harap peratusan penagih dadah di Felda dapat diturunkan kerana setiap tahun saya diberi laporan oleh pihak polis mengenai masalah penagihan dadah di kawasan ini yang agak serius dan semakin meningkat,” titah baginda.

Dalam ucapannya, baginda juga menyatakan penghargaan terhadap usaha DIC-Komited yang terus aktif membantu masyarakat dalam isu penagihan dadah sejak ia ditubuhkan pada 2001.


0 comments:

share2