Seorang wanita berusia 39 tahun berjaya ditahan pihak polis yang dipercayai memperdaya warga emas dengan tawaran melanjutkan ke pusat pengajian tinggi yang tidak wujud kepada anak mangsa sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM235,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata, suspek itu ditahan kira-kira jam 10 pagi kelmarin, di sekitar bandar Bentong.
Menurutnya, penangkapan itu berjaya hasil laporan mangsa yang berusia 64 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
“Suspek dikatakan membuat tawaran untuk membantu anak mangsa berusia 20-an melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dalam jurusan perubatan untuk sesi 2017/2018.
“Untuk tujuan itu, mangsa perlu memasukkan pelbagai bayaran yang dikenakan oleh suspek yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Modus operandi suspek adalah memperdaya mangsa dengan menawarkan anaknya melanjutkan pelajaran ke peringkat IPTA dalam jurusan kedoktoran sehingga mengalami kerugian.
“Oleh kerana terlalu percayakan segala janji diberikan suspek, mangsa memasukkan wang dengan jumlah keseluruhan RM235,000 mengikut permintaan suspek dengan jumlah yang berbeza.
“Mangsa memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun Maybank milik suspek, namun anaknya tetap tidak berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.
Katanya, anaknya tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam jurusan perubatan di UM dan kini terpaksa pula menanggung kerugian yang besar.
“Mangsa yang merasa tidak berpuas hati dan berasa ditipu kemudian membuat laporan polis sebelum pihak polis berjaya menahan suspek itu.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment