Harga balak di pasaran yang naik dua kali ganda antara RM200 hingga RM400 satu tan antara faktor utama peningkatan kes memindah hasil hutan itu tanpa lesen dilakukan sindiket profesional di negeri ini.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Dato' Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, harga balak jenis keruing dan kempas kini meningkat sekali hingga dua kali ganda berbanding sebelum ini.
Menurutnya, ia juga didorong permintaan tinggi terhadap balak turut menyebabkan kegiatan pencerobohan hutan dan memindahkan balak tanpa lesen giat berlaku terutama di beberapa daerah.
“Kita dapati kegiatan ini turut melibatkan individu tempatan yang tidak takut dengan undang-undang yang ada.
“Operasi Ganyang yang dilakukan baru-baru ini berjaya menumpaskan cubaan memindahkan balak di Hutan Simpan Chini Tambahan, Bera, Hutan Simpan Kelau, Bentong dan Hutan Simpan Ibam, Rompin,” katanya.
Menurutnya, rampasan terbesar di Bera membabitkan 2,400 balak pelbagai jenis bernilai RM3 juta.
Pada operasi itu, katanya, pihaknya turut menahan empat lelaki penduduk setempat yang cuba memindahkan kayu bergegaji.
Menurutnya, aduan awam menjadi pencetus kepada kejayaan jabatan menumpaskan kegiatan menceroboh kawasan hutan simpan di negeri ini, selebihnya operasi yang dilakukan unit penguatkuasa.
0 comments:
Post a Comment