\
Pemancing atau nelayan menganggap hasil tangkapan ikan pari suatu yang amat menggembirakan, tambahan pula jika saiznya besar dan harganya tentu lebih lumayan.
Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan itu mereka perlu berhati-hati kerana ikan pari memiliki sengat yang sangat bahaya di bahagian ekornya. Tusukannya boleh membawa maut jika terkena pada bahagian badan tertentu.
Difahamkan, ada dua jenis pari iaitu pari pasir yang sengatnya terletak di pangkal ekor manakala jenis pari daun dan paling bahaya kerana sengatnya di hujung ekor.
Saiz sengat itu pula mengikut saiz ikan dan bagi pari yang besar dan berat sekitar 70 kilogram (kg) ke atas, panjangnya tidak kurang enam inci.
Walaupun memiliki pengalaman yang banyak, nelayan pantai, Rusdi Endut, 55, tidak terkecuali menjadi mangsa tusukan sengat pari sebanyak dua kali iaitu di kaki dan tangan.
Menurutnya, kejadian yang teruk adalah di bahagian kaki kerana ketika itu pari masih hidup, selepas membenamkan sengat ke dalam kaki ia melibas ekornya hingga koyak daging.
“Bentuk sengat pari ini sangat bahaya kerana ia bergerigi seperti mata gergaji, jika tertusuk tak boleh nak ditarik keluar mengikut arah tusukan.
“Kalau tarik juga daging akan terkeluar dan kesakitan hanya ALLAH yang tahu, jadi kena bawa ke klinik atau hospital. Doktor akan suntik sebelum ditarik keluar menembusi bahagian tusukan,” katanya kepada Sinar Harian.
Elak ditegur wanita mengandung
Menurut Rusdi, walaupun sengatnya sudah dikeluarkan tetapi bahagian luka tetap ada bisa dan perlu membuat rawatan susulan bagi mengelakkan kesan luka bertambah buruk.
Katanya, ada nelayan perairan Kuala Rompin percaya pantang yang perlu dielak agar kesakitan tusukan sengat pari tidak bertambah teruk.
Mereka percaya mangsa tusukan sengat pari perlu mengelak ditegur atau ditanya mengenai luka tusukan oleh wanita mengandung.
“Ini cerita betul sebab beberapa kawan nelayan pernah kena, kebetulan dia kena sengat pari ketika di klinik jururawat yang merawatnya itu mengandung.
“Selepas dia diberi suntikan yang mengurangkan kesakitan, jururawat itu bertanya punca luka dan, tiba-tiba kesakitan itu datang semula,” katanya.
Bagi nelayan terdahulu yang menjadi mangsa sengat ikan pari, Rusdi menjelaskan mereka hanya menggunakan kaedah perubatan tradisional.
“Mereka guna penawar dari biji jambu golok atau ketere (gajus), mereka potong biji jambu itu dan letak di tempat terkena sengat, saya sendiri pun pernah buat dan terbukti berkesan,” katanya.
Rusdi berkata, ada juga yang percaya sengat pari yang dibakar hangus dan ditumbuk halus boleh dijadikan ubat penyakit lelah.
“Berkenaan boleh dijadikan ubat ini saya tak pernah cuba dan hanya tahu daripada orang lain, tapi memang agak kerap orang datang jumpa saya minta sengat pari untuk dibuat ubat,” katanya.
Menurut Rusdi, ada juga petua orang-orang terdahulu yang mengatakan sengat pari boleh dijadikan ‘pagar’ rumah daripada penceroboh.
Katanya, dalam masa sama ia juga boleh juga digunakan untuk tujuan tidak baik.
“Disebabkan itu jika ada orang datang minta sengat pari, tak semua saya akan bagi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment